Penyokong Penang FC Jangan Buat Lecey

Penyokong Penang FC perlulah mengambil sikap bertenang dan tidak buat ‘lecey’ atau ambil mudah berikutan khabar angin mengenai hukuman beraksi tanpa penyokong.Tular mengenai penegasan Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysian Football League , Datuk Ab Ghani Hassan tentang kegagalan mematuhi prosedur operasi standard membabitkan penonton. Dan, penyokong Penang menjadi tumpuan dek kerana tular gambar-gambar ketika aksi berdepan Sabah, minggu lalu.

Begitupun, ia hanyalah amaran daripada Ab Ghani. MFL hanya memberikan arahan kepada stadium-stadium yang terlibat untuk mengambil langkah memperbaiki SOP.Ujar Ab Ghani kepada Sinar Harian, Sekiranya tidak ada perubahan atau keadaan lebih teruk, maka ia akan menyebabkan kita tidak membenarkan penonton masuk untuk melihat perlawanan lagi. Setakat ini, venue yang gagal berada dalam pemantauan.

Penulis membuat liputan di Stadium Bandaraya pada perlawanan tersebut dan ingin berkongsi serba sedikit apa yang berlaku. Untuk makluman semua, pegawai MFL ada di stadium dan kerap kali membuat rondaan kepatuhan SOP di tempat media.Tempat duduk berbumbung yang sebelum ini hanya dikhaskan buat pemegang tiket bermusim dan orang kenamaan, ketika ini menjadi tempat untuk petugas media dan pemain simpanan. Untuk itu, terima kasih dan maaf sebab mengambil tempat anda.

Selain pemain simpanan dan pihak media yang hadir membuat liputan perlawanan, grandstand juga dikhaskan buat pegawai-pegawai daripada pasukan yang turut hadir ke stadium. Sebagai contoh sebelum ini kelihatan pengendali UiTM FC kini, Reduan Abdullah, Ismail Ibrahim, Scott Ollerenshaw dan tidak ketinggalan, Tan Cheng Hoe.

Untuk aksi berdepan Sabah, kawasan tersebut juga telah bertambah ‘keahlian’ dengan kehadiran ahli keluarga pemain. Penjarakan tetap dibuat dan ia dipantau oleh pegawai MFL yang kerap kali lalu lalang dan menegur jika berlaku pelanggaran SOP – ia tidak seperti yang diwar-warkan di dalam media sosial mengenai tiada penjarakan sosial.

Dan pegawai MFL tersebut kerap kali menerima panggilan telefon dan mesej, mungkin daripada pihak atasan. Beliau akan menyampaikannya kepada juruhebah di stadium, Zachki Ahmad Suri untuk disampaikan teguran itu kepada para penyokong.Dan sebagai orang yang berada berdekatan dengan Zachki Ahmad Suri, penulis dapat melihat bagaimana beliau terpaksa membuat pertimbangan untuk tidak mengecilkan hati para penyokong sebelum membuat pengumuman tentang pelanggaran SOP.

Ironinya, respon yang diterimanya tetap negatif dan baginya itu mungkin perkara biasa. Di saat beliau cuba melembutkan lantunan suaranya, hamburan makian diterimanya.Selain itu, mungkin yang menyaksikan perlawanan di YouTube Unifi dapat saksikan, sebaik sahaja wisel permulaan ditiup oleh pengadil, hujan turun dengan lebatnya.

Hujan yang sangat lebat sehingga kami yang di tempat berbumbung pun terkena tempiasnya. Jadi, bayangkan penyokong yang ‘menadah’ terus dari langit di tempat duduk penyokong. Jadi, di sini, perlulah ada sifat belas kepada para penyokong.Mereka hanya tumpang untuk berteduh sementara hujan masih lebat dan pelbagai kutukan dihamburkan kepada mereka seolah-olah mereka ‘sengaja’ melanggar SOP.Berdasarkan pemerhatian penulis sebelum perlawanan bermula, tahap pematuhan SOP adalah baik. Semua penyokong termasuk Ultras Panthers mematuhi penjarakan sosial yang dilaksanakan. Mereka juga masuk dan memenuhi stadium awal.

Hanya ketika hujan turun – dalam tempoh 20 minit aksi, penyokong bertempiaran mencari tempat berteduh, itupun bukan semua, hanya yang tiada baju hujan sahaja. Tinggalah Ultras Panthers berdiri, bersorak dan memukul gendang dalam hujan!Selepas hujan dapat dilihat keadaan kembali normal. Tiada lagi kelibat penyokong berteduh di bawah kawasan tersebut dan mereka juga telah kembali ke tempat masing-masing. Benar, undang-undang tetap undang-undang, namun hukuman yang mahu dijatuhkan nanti perlulah melihat kepada situasi ketika itu terlebih dahulu.

Sementara untuk penyokong Penang, janganlah terlalu ‘jora’ di media sosial atau di stadium. Patuhi SOP selagi mampu dan bersedia dengan sebarang kemungkinan. Hormatilah sesama penyokong Penang dan janganlah dok buat ‘lecey’.Ini juga tergunapakai untuk semua penyokong pasukan lain yang hadir ke stadium. Patuhi peraturan dan janganlah memperlecehkan usaha pasukan anda.