Benjamin Mora Akui Bertemu KDA FC Amat Sukar

JURULATIH Johor Darul Ta’zim , Benjamin Mora mengakui perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC kelmarin merupakan antara yang pa­ling sukar pernah dilalui anak-anak buahnya pada musim ini.Malah, menurut jurulatih kelahiran Mexico itu, jika diberi pilihan beliau seolah-olah tidak mahu lagi bertemu KDA FC musim ini.

Kenyataan Mora itu berikutan KDA FC dilihat memberi tentangan hebat hingga mereka hampir-hampir mendahului menerusi dua percubaan dilakukan Rabih Ataya serta Kpah Sherman yang mengenai tiang dan palang gol JDT.Ini sudah tentu antara perlawanan yang paling sukar untuk dilalui. Pasukan lawan ternyata banyak meningkat terutamanya daripada aspek strategi serta gaya permainan ditampilkan.

Kami perlu mengucapkan tahniah kepada Kedah di atas usaha serta aksi bersungguh-sungguh ditunjukkan mereka. Namun, kami memiliki kesabaran, ketenangan selain para pemain turut menampilkan aksi tersusun hingga membolehkan kami membawa tiga mata penuh malam ini, katanya.Dalam perlawanan itu, JDT terpaksa menunggu hingga ke minit terakhir permainan bagi memuktamadkan kemenangan 1-0 ke atas KDA FC hasil jaringan penalti penyerang dari Brazil, Bergson Da Silva.

Dalam pada itu ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak akur dengan kekalahan pasukannya meskipun menganggap apa yang berlaku sangat mengecewakan.Para pemain memberikan aksi terbaik dengan kita memiliki dua peluang untuk mendahului pada babak pertama, namun inilah bola sepak yang mana kita perlu sentiasa menerima apa yang berlaku dan kembali meneruskan perjuang dalam perlawanan akan datang.Secara keseluruhan memang kami kecewa dengan keputusan perlawanan tetapi apabila bercakap tentang prestasi pemain, saya berbangga dengan apa yang mereka tunjukkan malam ini, katanya.