Azrai Khor: Jangan Seronok Sangat Jadi Pengacau

Jangan terlalu seronok atau ketawa apa yang berlaku di Perak FC kerana situasi sama bakal melanda beberapa pasukan yang masih dibayangi ahli politik atau dikuasai oleh individu dalam persatuan bola sepak negeri.

Peringatan itu diberikan oleh pengkritik dan bekas Jurulatih legenda Kedah Azraai Khor Abdullah yang melihat sekurang-kurangnya lima pasukan yang dikuasai oleh ahli politik dan individu yang mempunyai kepentingan peribadi bila-bila masa boleh musnah dalam masa terdekat ini.

Azraai berkata, Perak antara situasi yang boleh dijadikan iktibar oleh semua pasukan yang masih lagi meletakkan individu berkenaan dalam pentadbiran kelab terbabit.

Beliau berkata, kehadiran individu itu yang boleh dilihat sebagai pengacau kepada pasukan bola sepak tempatan menyebabkan masalah seperti Perak akan berulang lagi terutama selepas perubahan kepimpinan pada pilihanraya umum nanti.

Saya tidak mengatakan ahli politik atau individu berkaitan akan merosakkan sepenuhnya industri bola sepak negara cuma kehadiran mereka ini jika mempunyai tujuan tertentu akan berakhir dengan kehancuran.

Ada juga kehadiran individu berkenaan sememangnya kerana meminati bola sepak dan ikhlas mahu meningkatkan lagi mutu sukan terbabit terutama di peringkat negeri.Namun, jika melihat kehadirannya tidak memberi apa erti atau kebaikan adalah lebih baik jangan masuk campur dan lepaskan kepada individu yang layak, katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, kem Perak FC sekali lagi bergolak ekoran isu tunggakan gaji yang menghantui pasukan itu sejak awal musim ini.Situasi berkenaan sekali gus menyaksikan dua tonggak pasukan terbabit iaitu Shahrul Saad dan Guilherme de Paula menyertai kelab Johor Darul Ta’zim semalam.

Difahamkan, tindakan dua pemain terbabit meninggalkan skuad The Bos Gaurus pada jendela perpindahan kedua ini adalah disebabkan faktor tunggakan gaji.Malah, dikatakan kemungkinan ada beberapa lagi pemain utama akan mengikuti jejak langkah itu dengan berpindah ke pasukan lain.