Yang Kalah diganti yang menang

Hadiah buat pengantin baru nampaknya.

Penjaga gol muda Johor Darul Ta’azim (JDT) Haziq Nadzli yang baru melangsungkan perkahwinan pada hujung minggu lalu nampaknya telah mendapat hadiah kahwin yang sangat bermakna daripada ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan bahawa Tan Cheng Hoe telah memanggil penjaga gol berusia 21 tahun itu bagi menggantikan tempat penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim. Haziq akan menyertai kem latihan skuad kebangsaan esok.

Skuad Harimau Malaya akan beraksi dalam tiga perlawanan dalam kalendar antarabangsa pada bulan ini. Malaysia akan beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Tajikistan pada 9 November ini sebelum berdepan Thailand (14 November) dan Indonesia (19 November) untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Haziq sebelum ini turut tersenarai bagi menyertai kem latihan awal skuad bawah 22 tahun negara kendalian Datuk Ong Kim Swee bagi menghadapi cabaran Sukan SEA 2019 di Filipina pada bulan ini.

Kredit foto: FAM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *