Yan kekok sarung jersi Harimau Malaya

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid mengakui sedikit kekok apabila kembali menyertai kem latihan Harimau Malaya selepas kali terakhir menyarung jersi skuad kebangsaan, dua tahun lalu.

Azhan dipanggil bagi menggantikan penjaga gol Kedah yang mengalami kecederaan, Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim bagi menghadapi Sri Lanka dalam aksi persahabatan di Bukit Jalil, Sabtu ini, selain saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam di Hanoi, Khamis depan.

“Terima kasih kepada jurulatih kerana memanggil saya untuk menyertai pasukan. Saya berasa bersyukur dan berbangga apabila menerima panggila ini. Jujurnya saya berasa kekok untuk menyesuaikan diri bersama pasukan.

“Teringat saya ketika kali pertama dipanggil menyertai kem latihan skuad kebangsaan buat kali pertama.

“Persaingan untuk merebut tempat saya lihat peluang sama rata kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi dan membiarkan jurulatih membuat keputusan. Jika diturunkan sudah pasti saya akan memberi 100 peratus,” katanya kepada pemberita di Bukit Jalil, hari ini.

Kali pertama bekas penjaga gol Pahang itu dipanggil menyertai kem latihan kebangsaan pada 2013 ketika itu dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee dan kali terakhir Khairulazhan bersama Harimau Malaya ketika menentang Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 yang berkesudahan seri 1-1 di Melaka pada 5 September 2017.

Khairulazhan, 30, antara pemain senior yang menyertai kem kebangsaan berkata faktor usia tidak menjadi penghalang buatnya untuk merebut tempat memandangkan pengalaman boleh menjadi kelebihan.

“Umur bukan penghalang sebab kita kena bagi yang terbaik. Pengalaman penting untuk setiap pemain dan ia dapat membantu mereka ketika beraksi,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *