Usah layan media sosial

Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe meminta pemainnya menerima segala kritikan dilemparkan ke atas mereka sebagai tonik untuk bangkit dengan permainan lebih bertenaga apabila berdepan Afghanistan pada Sabtu, dalam aksi persahabatan Piala AIRMARINE 2019.

Menurutnya pujian melambung ketika menang mahupun kritikan pedas ketika kalah adalah asam garam dalam bolasepak, dan pemain perlu menunjukkan kekuatan mental untuk berdepan situasi itu.

“Semua pihak boleh menyatakan pendapat, lebih-lebih lagi di zaman sekarang banyak platform untuk berbuat demikian terutamanya media sosial. Sudah tentu ia akan menganggu pemikiran pemain kerana mereka juga terdedah kepada media sosial dan nasihat saya jika mereka tidak kuat atau mudah ‘koyak’, jangan terlalu melihat media sosial.

“Pemain harus menjadikan kritikan sebagai motivasi. Bagi saya sebagai jurulatih tetap yakin dengan setiap pemain yang berada dalam pasukan dan saya harap pemain dapat pulih dan kembali bersemangat serta dapat memberi aksi terbaik dalam aksi menentang Afghanistan,” ujarnya.

Susulan kekalahan 0-1 Harimau Malaya di tangan Singapura, antara pemain yang hebat dikecam adalah Akram Mahinan, Mohamadou Sumareh, kapten pasukan Zaquan Adha Abdul Radzak dan penyerang Johor Darul Takzim Ahmad Hazwan Bakri, malah Tan Cheng Hoe sendiri tidak dapat lari daripada dihentam dek pemilihan pemain yang boleh dipertikaikan.

Kini untuk memenangi semula hati dan keyakinan penyokong, Harimau Malaya tiada pilihan selain menewaskan Afghanistan dalan perlawanan yang juga akan menghadiahkan tempat ketiga Piala AIRMARINE 2019.

Alasan tidak serasi, penyerang tumpul mahupun dihukum kerana kesilapan mudah pastinya tidak mahu didengari mereka sekali lagi dan jika ia berlaku bersedialah untuk menepis kritikan bertalu-talu daripada para tentera di media sosial.

Foto : FAM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *