United buntu gol di The Hague

JENTERA serangan Manchester United sekali lagi gagal mempamerkan bisa apabila seri 0-0 dengan kelab Belanda, AZ Alkmaar pada aksi kedua Kumpulan L Liga Europa, awal pagi tadi.

United tidak langsung kelihatan boleh menjaringkan gol bagi hampir sepanjang perlawanan di padang astroturf Stadium Kyocera di The Hague dan gagal menghasilkan sebarang percubaan yang menepati sasaran.

Tuan rumah bermain 110 kilometer dari gelanggang sendiri kerana bumbung stadium mereka Stadium AFAS runtuh bulan lalu, namun penyokong mereka masih mampu mencetus suasana bingit.

Bagaimanapun tidak banyak aksi yang begitu mengujakan dengan benteng pertahanan kedua-dua pasukan kelihatan utuh di atas gelanggang licin.

United pasti gembira dengan satu mata itu yang membantu mereka mengutip empat mata daripada dua perlawanan, terikat dengan Partizan Belgrade yang menang 2-1 di Astana pada perlawanan lebih awal.

“Keadaan amat sukar tapi saya fikir kami bertindak dengan bagus. Ia meletakkan kami di posisi yang baik,” kata pengurus Ole Gunnar Solskjaer, yang mengkritik padang astroturf itu sebagai yang terburuk pernah dilihatnya.

Ketika United bertahan dengan baik, kekurangan pilihan di jentera serangan sekali lagi terserlah ketika catatan tidak menang mereka di gelanggang lawan dalam semua pertandingan kini berlanjutan kepada 10 aksi.

Anak buah Solskjaer gagal menjaringkan lebih satu gol dalam perlawanan sejak mereka memulakan musim dengan kemenangan besar 4-0 ke atas Chelsea dalam Liga Perdana Inggeris.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *