United berisiko ikut ‘jejak’ Liverpool

LONDON: Manchester United di ambang bahaya mengikuti ‘kemarau’ panjang Liverpool untuk menjulang trofi Liga Perdana, kata bekas penyerangnya Dimitar Berbatov.

United memenangi 13 gelaran Liga Perdana di era moden, dengan kesemuanya di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson dan sejak pengurus legenda itu bersara pada 2013, Red Devils gagal menambah koleksi kejuaraan elit berkenaan.

Pelbagai cara sudah dilakukan kelab termasuk menggaji bekas pemain, Ole Gunnar Solskjaer bagi mengendalikan kelab berkenaan yang menyaksikan United menamatkan saingan musim lalu di tangga keenam.

Red Devils sekali lagi mengharungi persembahan terumbang ambing pada permulaan musim ini dan situasi itu menyebabkan Berbatov mengakui pasukan itu berisiko mengikuti jejak ‘malang’ yang diharungi musuh tradisinya, Liverpool.

“Ia mengecewakan dan sukar untuk saya mengakuinya yang United ketinggalan jauh di belakang Man City dan Liverpool,” kata Berbatov.

“Ketika perlawanan, kamu boleh melihat keyakinan dan ketenangan kedua-dua pasukan itu, mereka tahu bagaimana untuk bermain dan kadang-kala United tidak memilikinya dan terpaksa bergelut.

“Saya berharap United tidak menerima nasib sama seperti Liverpool dan menunggu untuk sekurang-kurangnya 29 tahun untuk memenangi Liga Perdana. Enam tahun adalah masa yang lama untuk menunggu memenangi gelaran bagi pasukan seperti United.

“Jelas Liverpool lebih baik ketika ini, tetapi mereka mengambil begitu banyak masa untuk berada di tahap ini dan mereka mengharungi permainan yang hebat. United perlu mencari semula formula kemenangan secepat yang mungkin.”

Begitupun, Berbatov percaya pendekatan yang diambil oleh United betul dengan meletakkan kepercayaan kepada pemain muda tetapi penantian untuk memperoleh hasil yang diharapkan mungkin memakan masa yang panjang.

United dijadual bertemu Liverpool di Old Trafford dalam saingan Liga Perdana 20 Oktober ini. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *