Undang-undang ‘berita palsu’ bangkitkan kebimbangan

SINGAPURA: Undang-undang baharu Singapura bagi memerangi berita palsu berkuat kuasa hari ini, di sebalik kritikan daripada gergasi teknologi dan aktivis, yang melabelkan peraturan ketat itu sebagai usaha menakutkan untuk menekan pembangkang.

Undang-undang itu memberikan kuasa kepada menteri mengarahkan laman media sosial meletakkan amaran bersebelahan siaran yang dianggap pihak berkuasa sebagai palsu, dan dalam kes melampau, ia dipadamkan.

Facebook, Twitter dan Google, yang mempunyai ibu pejabat rantau Asia di Singapura, diberi pengecualian sementara daripada beberapa peruntukan dalam akta itu bagi memberi masa kepada mereka untuk menerimanya.

Jika tindakan dinilai berniat jahat dan menjejaskan kepentingan Singapura, syarikat terbabit boleh didenda sehingga

Sg$1 juta (RM3.01 juta) manakala individu berhadapan penjara sehingga 10 tahun.

Pihak berkuasa di negara yang dikawal ketat itu, sudah lama dikritik kerana mengehadkan kebebasan sivil, menegaskan langkah itu penting untuk menghalang pengedaran berita palsu yang boleh memecahbelahkan masyarakat dan mengikis kepercayaan kepada institusi.

Namun undang-undang itu mencetuskan kemarahan kumpulan hak, yang bimbang ia menyekat perbincangan atas talian, syarikat teknologi dan pertubuhan media.

Wartawan dan aktivis, Kirsten Han, yang juga ketua editor media bebas New Naratif, berkata peraturan itu amat membimbangkan.

“Ia undang-undang yang cukup luas dan sukar dijangka bagaimana ia akan digunakan.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah kesannya dan proses penapisan sendiri seterusnya,” kata beliau.

Selepas diluluskan Mei lalu, Google berkata, ia bimbang perundangan itu akan memberi kesan kepada inovasi dan pertumbuhan ekosistem maklumat digital. — AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *