UEFA bakal siasat ‘tabik tentera’ pemain Turki

SAINT-DENIS (Perancis): Pemain Turki sekali lagi mengulangi aksi ‘tabik tentera’ selepas kejayaan mengikat Perancis 1-1 dalam aksi Kelayakan Euro 2020 di Stade de France, pagi tadi.

UEFA sebelum ini mengesahkan akan menyiasat ‘tabik tentera; yang dilakukan pemain Turki ketika mereka menang ke atas Albania Jumaat lalu.

Perkembangan itu mungkin disebabkan kehadiran tentera Turki ke sempadan Syria ketika ini yang dikerah memerangi pemberontak Kurdis.

Perancis pula sebahagian negara Eropah yang mengenakan sekatan ekonomi ke atas Turki berhubung langkah berani Presiden Recep Tayyip Erdogan menyerang tentera pemberontak Kurdis yang pro Barat itu.

Penyerang Everton, Cenk Tosun yang menjaringkan gol kemenangan ke atas Albania tempoh hari memuat naik gambarnya menerusi Instagram dengan kapsyen : “Untuk negara kami, terutama buat seseorang yang sanggup menggadai nyawanya demi negara.”

UEFA, yang tidak mebenarkan sebarang unsur politik di bawa ke dalam padang sudah menyatakan kesediaan menyiasat perlakuan pemain Turki itu.

Meskipun berdepan ancaman dikenakan tindakan oleh UEFA, namun pemain Turki tampak degil apabila mengulangi aksi tabik tentera ketika meraikan kejayaan mengikat Perancis di Paris, pagi tadi.

Tidak cukup dengan itu, laman web rasmi pasukan kebangsaan Turki juga memuat naik gambar pemain mereka yang meraikan kejayaan menduduki tangga teratas Kumpulan H itu dengan aksi tabik tentera itu.

Beberapa ahli politik Perancis menggesa perlawanan itu dibatalkan saja tatkala pegawai keselamatan bertungkus lumus mengetatkan kawalan di Stade de France bagi mengelak sebarang insiden kekecohan terutama selepas mendapati beberapa kumpulan berarak sambil membawa sepanduk menyokong puak Kurdis.

Dalam perkembangan berkaitan, pasukan divisyen dua Jerman, St Pauli memecat pemain kelahiran Turki, Cenk Sahin selepas dia memuat naik kenyataan menyokong tindakan tentera negaranya di laman Instagram.

Sabtu lalu, pemenang pingat emas acara Gimnastik, Ibrahim Colak turut melakukan aksi sama selepas muncu juara di Kejohanan Dunia di Stuttgart, Jerman. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *