Tiada Penyelesaian Sepenuhnya

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) komited dalam menangani !su tunggakan gaji pemain selama empat bulan dengan mewujudkan segera satu Jawatankuasa Khas Kewangan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Menerusi kenyataan media oleh Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor selepas mesyuarat eksekutifnya semalam mengesahkan tindakan drastik penubuhan Jawatankuasa Khas Kewangan ini adalah langkah bagi mengatasi bebanan hutang yang dialami KFA sejak September 2019.

Tunggakan bagi Mac 2020 akan diselesaikan sebelum 15 Ogos 2020 manakala tunggakan April, Mei, Jun dan Julai 2020 akan dimaklumkan penyelesaian selepas rundingan mengenai pembayaran dilakukan dalam masa terdekat.

Jawatankuasa Khas Kewangan yang ditugaskan mencari penyelesaian tunggakan empat bulan tersebut juga akan mencari kaedah terbaik dalam ‘situasi menang-menang’ pihak persatuan dan pemain memandangkan Liga Super musim 2020 akan bersambung 26 Ogos ini. katanya.

Sanusi berkata mesyuarat memutuskan untuk memperkemaskan kedudukan kewangan dengan memperkukuhkan penajaan dengan mengemaskini status penajaan dengan penaja-penaja KFA musim 2020 yang sudah memberi komitmen musim ini.

Jawatankuasa Khas Kewangan yang ditubuhkan ini juga akan berfungsi untuk mendapatkan penajaan baharu dengan berunding segera dengan bakal penaja baru.Punca masalah dana penajaan tertunggak adalah pelaksanaan tanggungjawab secara ‘one man show’ dalam penajaan, pengurusan kewangan, penentuan gaji pemain dan pengurusan pasukan.

Semua fungsi ahli Jawatankasa Eksekutif diberi peranan lebih besar kini untuk memikul tanggungjawab bagi mengurus dan meneroka kaedah membawa penajaan baharu dan KFA kini memerlukan minimum RM25 juta untuk melengkapkan operasi dan pengurusan pasukan musim 2020.” katanya.

Turut dinyatakan adalah berkaitan tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) setakat ini berjumlah RM3.8 juta dan perlu diselesaikan segera.

Sementara itu, KFA juga mengumumkan perlantikan dua jawatan penting iaitu Setiausaha Kehormat yang baharu dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).Mesyuarat bersetuju mengisi kekosongan jawatan Setiausaha Kehormat KFA dengan melantik Exco Belia dan Sukan Kedah, Firdaus Ahmad sebagai Setiausaha Kehormat yang baharu.

Mesyuarat juga melantik Zulkifli Che Haron sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KFA dan beliau pernah memegang jawatan Penolong Setiausaha Kehormat KFA sebelum ini iaitu pada musim 2008 hingga 2013.

sumber:HM

Turut dinyatakan dua lagi Ahli Jawatankuasa Eksekutif yang dilantik oleh Presiden antaranya ialah Ibrahim Ismail dan Mohd Noor Mohd Amin selaku bendahari KFA yang baharu.Mesyuarat berlangsung dengan kehadiran semua Ahli Eksekutif yang dipengerusikan oleh Muhammad Sanusi serta Naib Presiden KFA, Muhammad Radhi Mat Din.