Tiada Pasukan Mahukan Chanturu Ke?

Ayuh dapatkan Chanturu.

Bekas pemain sayap Felda United dan Johor Darul Ta’azim, S. Chanturu kini dalam proses mencari pasukan baru selepas membantu The F!ghters kekal dalam saingan Liga Super pada musim lalu.

Mengikut jejak langkah rakan sepasukan seperti Hadin Azman, Norazlan Razali, Christie Jayaseelan dan beberapa pemain lagi yang meninggalkan Felda United, bezanya adalah pemain berusia 32 tahun itu masih mencari destinasi barunya untuk tahun 2020 nanti.

“Saya masih lagi ingin bermain dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Setakat ini, saya ada juga bertanyakan beberapa pasukan tetapi tiada maklum balas yang diterima.

“Saya juga tidak kisah bermain sama ada dalam saingan Liga Super atau Liga Perdana musim depan,” kata Chanturu seperti dilaporkan Harian Metro.

Pastinya pasukan-pasukan sama ada Liga Super dan Liga Premier perlu berebut mendapatkan khidmat Chanturu yang mempunyai pengalaman luas beraksi di Liga Malaysia bersama pasukan seperti Pulau Pinang, Kelantan, Perak, Sarawak, JDT, Melaka United dan Felda United.

Chanturu pernah memenangi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia bersama Kelantan dan Johor Darul Ta’azim sebelum ini. Dia juga merupakan sebahagian daripada pemain pasukan JDT yang berjaya mencipta sejarah menjulang Piala AFC pada tahun 2015.

Kredit foto: Felda United