Tiada Muka Baru – TCH

LEBIH dua bulan tidak menjalani latihan berat dan konsisten selain tiada sebarang aksi kompetitif memberi bayangan kepada tugas berat menanti pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Apatah lagi memulihkan kembali kecergasan dan kemampuan pemain pada tahap optimum.

Cheng Hoe juga memberi bayangan mungkin tidak akan menggunakan muka baru dalam persiapan Harimau Malaya jika saingan liga tidak diteruskan dalam waktu terdekat ini kerana dibimbangi tidak mencapai mutu yang ditetapkan pengendali terbabit.

Beliau berkata, sudah pastinya pemain Harimau Malaya yang dipanggil nanti tidak lagi cergas dan mantap seperti sebelum ini sekali gus memerlukannya merangka inisiatif lebih berkesan bagi memastikan mereka tidak ‘lembik’ ketika beraksi di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Sudah tentu dengan lebih dua bulan tidak berlatih seperti biasa dan tiada pula aksi kompetitif sekali gus mengganggu prestasi skuad Harimau Malaya seterusnya agak sukar untuk mencapai tahap optimum mereka.

“Ketika ini, saya mengharapkan mereka lebih kerap melakukan latihan namun mematuhi arahan pihak kerajaan untuk menjaga penjarakan sosial.

“Walau apa pun kesukaran dan cabaran, saya perlu harunginya dan seperti sedia maklum mempunyai tempoh untuk menjalani sesi latihan pusat namun ia sebenarnya tidak mencukupi mengekalkan momentum pemain di tahap optimum dan terbaik,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Berdasarkan perancangan terbaharu Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang masih tertakluk kepada kelulusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), skuad Harimau Malaya akan bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 8 Oktober di Dubai dan Vietnam pada 13 Oktober di Kuala Lumpur.

Sebelum turun berentap dalam dua perlawanan itu, skuad negara dalam perancangan mengaturkan satu aksi persahabatan bertemu Bahrain pada 3 Oktober di Manama.

sumber : HM

Sebagai rekod, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) merancang untuk menyambung kembali saingan Liga Super serta Liga Premier pada 1-2 September dan berakhir pada 26-27 September ini.

Bagaimanapun situasi di Vietnam dan UAE ternyata lebih baik berikutan penularan wabak Covid-19 yang semakin terkawal apabila Vietnam dijangka akan memulakan liga tempatan pada Jun manakala UAE pada Ogos sementara Thailand juga akan bermula pada September seperti dirancang Malaysia.