Thailand Label Skuad Malaysia Sebagai Skuad Negara Johor

Media sukan terkenal di Thailand, SiamSport hari ini telah mengeluarkan sebuah artikel dengan tajuk yang mungkin mengundang panas sesetengah pihak di Malaysia apabila melabelkan skuad kebangsaan Malaysia sebagai Johor National Team.

Artikel itu sebenarnya berkenaan khabar angin yang mengaitkan berita perpindahan Mohamadou Sumareh ke pasukan JDT musim hadapan dan media sukan Thailand itu melihat anggota dari kelab selatan tanahair itu sebagai penyumbang terbesar pemain dalam skuad kebangsaan.

Dalam artikel itu, SiamSport menyebut bahawa terdapat sekitar 14 orang pemain berstatus pemain skuad kebangsaan Malaysia seperti Farizal Marlias, Haziq Nadzli, Adam Nor Azlin, Corbin Ong, Matthew Davies, Aidil Zafuan, Shazwan Andik, Safawi Rasid, Syameer Kutty, Afiq Fazail, Syafiq Ahmad dan Akhyar Rashid.

Mungkin dari perspektif mereka dengan ramainya pemain skuad kebangsaan hadir dari pasukan seperti JDT bakal membahayakan skuad kebangsaan Thailand dimana Malaysia akan bertandang ke Stadium Rajamangala dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pusingan 2 kelayakan Piala Dunia 2022 nanti.

Dengan 4 buah pasukan masih berpeluang besar memburu tempat ke peringkat seterusnya, media Thailand sudah mula memerhatikan mengenai kekuatan serta kelemahan pihak lawan lebih awal.

Namun, biar apa pun yang diperkatakan oleh orang luar, misi kita adalah untuk layak secara automatik ke pusingan ke 3 atau pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2022 selain slot automatik ke peringkat kumpulan Piala Asia 2023!