Teguran Akim, Stacy takut

DIKECAM ramai sehingga dilabel ‘wanita akhir zaman’ gara-gara cara pemakaian yang dikatakan tidak bersesuaian ketika membuat persembahan pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-32 (ABP32) baru-baru ini, Stacy tidak mudah melatah.

Pemilik nama sebenar, Ummu Shaikhah Stacy Anam itu juga tidak tertekan dengan kecaman orang ramai namun dirinya lebih mementingkan air muka suaminya, Akim Ahmad.

“Terus terang saya katakan, saya tidak ‘down’ atau tertekan sebab sebelum ini pun sudah acap kali dikecam.

“Bezanya sekarang, saya sudah ada suami dan punya keluarga sendiri yang perlu dijaga perasaan mereka. Orang ingin kecam, biarlah mereka. Kadang-kadang apa yang kita rancang untuk dicernakan atas pentas namun lain pula yang jadi,” katanya kepada Kosmo! pada acara memperkenalkan bakal protege Mentor Milenia 2019 di Hotel Hilton, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Ditanya sama ada suami ada menegurnya apabila kontroversi tersebut tercetus, jawab pelantun laguKhayal itu: “Selepas persembahan berlaku, dia pun terkejut dengan reaksi orang ramai. Sebagai isteri, saya perlu menjaga aib seorang suami.

“Apa pun, keluarga dan kawan rapat lebih mengenali diri saya. Sebenarnya saya takutkan Akim namun dia faham bahawa apa yang berlaku bukan disengajakan. Dia pun sudah maafkan saya,” ujar Stacy.

Akim yang berada di sisi turut mengiakan perkara sama. Mengakui terpalit dengan apa yang berlaku, Akim sedar sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai suami untuk menegur atau menasihati Stacy seandainya berlaku perkara kurang ‘molek’ di mata sendiri dan khalayak umumnya.

“Jika dibandingkan sebelum memeluk Islam, Stacy sudah banyak berubah. Mungkin orang kenal isteri saya selepas dia memeluk Islam. Itu yang mereka main cakap sahaja.

“Khalayak boleh tegur tetapi ada adab dan caranya. Bukan dengan mengaibkan isteri saya dalam ruangan media sosial. Itu bukan yang diajar dalam agama kita,” getus Akim.

Pengunduran Zimi

Rancak berbicara, Akim, 28, turut ditebak tentang pengunduran pengasas yang juga pemain bass Akim & The Majistret iaitu Zimi.

Menolak secara baik, Akim seboleh-bolehnya tidak mahu lagi memanjangkan isu berkenaan. Zimi sudah membuat keputusan untuk meninggalkan band, jadi Akim dan ahli kumpulan perlu menghormati keputusan tersebut.

“Perjalanan harus diteruskan. Kami sudah berbincang dan apa yang telah ditetapkan adalah untuk masa depan semua. Perpisahan berlaku dengan rela hati,” katanya.

Disuakan persoalan, adakah berlaku pertelagahan dengan Zimi sehingga mereka berkerat rotan, Akim enggan memperincikan perkara tersebut.

“Wujud masalah peribadi antara kami. Itu sahaja yang boleh saya cakap. Saya cuma mahukan Akim & The Majistret terus bernyawa dan berkembang.

“Sejujurnya, dia (Zimi) membuat keputusan untuk keluar melalui perantara (orang tengah). Kami tidak bersemuka langsung. Bukan dia tidak tahu rumah saya di mana. Apa pun, saya doakan yang terbaik untuk Zimi,” kata Akim.

Selepas pengunduran Zimi, Akim & The Majistret kini terdiri daripada lima orang ahli iaitu Freddy, Faiz Azizi, Arlis Faoq, Safwan Hassan dan Akim sendiri. Dua ahli selain Zimi iaitu Rajwan dan Hafeez tidak lagi bersama band disebabkan tidak dapat memberikan komitmen.

Mentor Milenia 2019

Beralih tentang komitmen terbaharu dalam Mentor Milenia 2019, Akim dan Stacy dilihat bersaing sesama sendiri termasuk tiga mentor lain iaitu Hazama, Black dan Ernie Zakri.

Pertama kali duduk di kerusi mentor, Stacy tidak dapat menahan rasa teruja untuk peluang pertama yang diraih setelah 11 tahun berkecimpung dalam industri seni tanah air.

“Selepas 11 tahun, saya semakin yakin dan bersedia untuk berkongsi pengalaman dengan orang lain. Rezeki buat saya juga selepas agak lama menyepi disebabkan fokus kepada keluarga sejak kebelakangan ini.

“Saya mencari protege yang boleh menghidangkan sesuatu yang segar ke dalam industri. Kalau memiliki vokal yang bagus dan pandai menari, itu elemen bonus buat saya,” katanya.

Ditanya sama ada dia sudah melihat potensi yang dicari dalam diri mana-mana bakal protege, jawab Stacy: “Saya ada nampak seorang peserta. Tetapi buat masa sekarang, belum tahu lagi kerana masih dalam kelompok 20 terbaik.

“Kali ini, protege yang akan pilih mentor. Jadi, saya berharap dapat ‘jodoh’ tepat dan berpeluang menurunkan ilmu dengan sehabis baik.

Sementara itu, Akim melihat penglibatan mentor wanita iaitu isterinya dan Ernie Zakri sebagai satu aspek positif untuk menyeimbangkan keadaan dalam pertandingan.

“Saya sudah pernah jadi mentor dan menang (ketawa). Dengan adanya wanita kali ini, corak permainan pasti berbeza.

“Stacy di rumah pun amat berahsia tentang strateginya. Selepas menang dengan protege perempuan iaitu Dhia pada musim lalu, kali ini saya mengharapkan seorang protege lelaki pula,” ungkap Akim.

Mentor Milenia 2019 akan memulakan siaran pada 6 Oktober ini pukul 9 malam menerusi TV3.

Menggandingkan Shuk Sahar dan Elly Mazlein sebagai hos, musim terbaharu Mentor Mileniamenampilkan Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi rap, Altimet di kerusi juri tetap.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *