Shevchenko bakal latih Milan?

PENGURUSAN AC Milan sedang cuba mendapatkan khidmat Andriy Shevchenko untuk melatih skuad Rossoneri itu bagi menggantikan Marco Giampaolo.

Ia ekoran Milan terus mencatat keputusan teruk dalam saingan Serie A termasuk dimalukan Fiorentino 1-3 di San Siro awal pagi tadi, sekali gus melebarkan rekod buruk kelab itu di bawah kendalian Giampaolo.

Memetik laporan media antarabangsa, Milan juga telah mengadakan pertemuan dengan Shevchenko, namun tidak diketahui hasil perbincangan itu.

“Kelab dikatakan akan memberikan satu lagi peluang kepada Giampaolo tetapi jika masih gagal, mereka tidak akan teragak-agak untuk memecatnya.

“Beberapa nama dikaitkan dengan kerusi itu dengan Shevchenko merupakan calon paling diingini oleh pengurusan kelab,” kata laporan itu.

Milan merekodkan empat kekalahan dan hanya meraih dua kemenangan sepanjang saingan Serie A musim ini sehingga menyebabkan mereka terperosok ke kedudukan ke-16.

Kedudukan itu membuatkan posisi Giampaolo dikatakan mulai tergugat selain bekas jurulatih Sampdoria itu mula mendapat cemuhan daripada penyokong.

Shevchenko bukanlah nama asing buat Milan apabila menjaringkan 175 gol daripada 322 penampilan selain pernah membantu kelab itu memenangi Liga Juara-Juara dan kejuaraan liga domestik.

Ketika ini, Shevchenko menjadi pengendali Ukraine dengan rekod cemerlang iaitu 16 kemenangan, lapan seri dan lima kalah dalam 29 perlawanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *