Semakin Hampir Dalam Gengaman

LONDON: Manchester United percaya kelab itu hampir pasti memiliki bintang muda England, Jadon Sancho. Difahamkan, pemain Borussia Dortmund itu sudah bersetuju dengan semua syarat untuk berpindah ke Old Trafford. Chelsea turut berminat bagi mendapatkan pemain berusia 20 tahun itu tetapi Sancho lebih cenderung untuk menyertai skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer – tiga tahun selepas meninggalkan Manchester City.

Menurut laporan SunSports, kedua-dua pihak sudah bersetuju berhubung tempoh kontrak, gaji, bonus dan nilai tebus kontrak yang tinggi menerusi perbincangan yang dilakukan secara rahsia. Kini, United hanya perlu menamatkan perbincangan mengenai yuran perpindahan dengan Dortmund yang dilaporkan bakal menjadi rekod perpindahan termahal kelab di England. Kelab gergasi Jerman itu dilaporkan bakal menerima lebih 89 juta pound RM485 juta berbanding apa yang dibayar United ketika membawa masuk Paul Pogba daripada Juventus pada 2016.

Sancho yang lahir di London meninggalkan City pada usia 17 tahun selepas tidak mendapat tempat di bawah bimbingan Pep Guardiola. Bagaimanapun, dia mula mempertimbangkan kepulangan ke England selepas kali pertama United menghubunginya pada musim panas lalu. Pada September lalu, bos Dortmund, Michael Zorc mendedahkan: Satu pertemuan diadakan. United menjemput ejennya. Sancho yang beraksi di posisi sayap menjadi salah seorang pemain diidamkan Solskjaer dan perkara itu dimaklumkan kepada Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward. Woodward turut menyokong Solskjaer bagi mendapatkan khidmat pemain Aston Villa, Jack Grealish dan penye rang Tottenham Hotspur, Harry Kane. – Agensi