Semak Kemampuan Sebelum Main

rfan Bakti Abu Salim menyambut baik tindakan Liga Bola Sepak Amatur (AFL) untuk menstruktur semula Liga M3 mulai musim ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, banyak perkara perlu diambil kira terutama membabitkan aspek kewangan setiap pasukan yang bertanding sekiranya penstrukturan itu dilaksanakan kelak.

“Secara peribadi, saya melihat ada pro dan kontra dalam perkara ini (penstrukturan semula Liga M3). Pasukan yang bersaing dalam Liga M3 juga harus mempunyai dana yang kukuh.

“Kita tak mahu dengar lagi cerita pasukan-pasukan daripada Liga M3 menjadi mangsa belasahan, takut jadi macam tahun lepas ada keputusan 14-0, 17-1, itu satu keputusan yang tervk.”Disebabkan itu, AFL perlu teliti dulu pasukan yang akan bertanding dalam Liga M3 ini. Semak kemampuan kewangan setiap pasukan betul-betul kerana apabila buat semi-pro, kita seperti sudah ‘pusing ke belakang’,” katanya kepada Sinar Harian.

Minggu lalu, AFL mengumumkan saingan Liga M3 bakal distrukturkan bermula musim ini sebagai langkah persediaan menyiapkan pasukan amatur kepada semi-pro mulai tahun depan.

Sebagai langkah pertama, saingan Liga M3 akan menyaksikan tambahan penyertaan pasukan daripada 14 musim lalu kepada 20 pasukan secara maksimum yang akan diasingkan kepada dua kumpulan.Empat lagi pasukan terbaik daripada saingan Liga M4 musim ini akan melengkapkan jumlah 12 pasukan yang akan bersaing pada 2021.

Irfan Bakti berkata, pemilihan pasukan juga perlu dibuat dengan teliti dan bukannya dibuat hanya semata-mata bagi melengkapkan jadual liga.

“Mungkin ini salah satu usaha jangka panjang AFL dalam menaikkan mutu bola sepak negara di peringkat akar umbi secara lebih menyeluruh.

“Begitupun, AFL harus memberi penekanan yang lebih tentang aspek kewangan sebelum membenarkan mana-mana pasukan bertanding dalam Liga M3,” ujarnya.

Dalam pada itu, Irfan Bakti tidak menolak kemungkinan ada dalam kalangan pemain yang beraksi dalam saingan Liga M3 boleh diketengahkan sehingga ke peringkat lebih tinggi.

“Saya tak nafikan ada pemain yang boleh beraksi dalam Liga Super atau Liga Premier. Contohnya, saya berjumpa seorang pemain Ultimate FC (Nabil Ahmad Latpi) dan saya bawa ke Terengganu (tahun lalu), sekarang dia dah ikat kontrak dengan Kuala Lumpur.

“Jadi ini membuktikan bahawa ada pemain-pemain yang beraksi dalam Liga M3 yang kita boleh bawa ke depan (beraksi di peringkat lebih tinggi),” katanya.