Sebab Pahang lebih Di Sayangi Pemain Berbanding Pasukan Besar Lain

Nukilan berbentuk parodi seorang penyokong setia pasukan Pahang, Mohammad Safwan yang mengagumi fungsi pasukannya sebagai pelopor memulihkan prestasi pemain.

Tertubuhnya pasukan Pahang pada 1959 melihatkan berlakunya perubahan lanskap dan norma baharu dalam senario bola sepak negara. Segalanya berubah 360 darjah bermula dari luar padang hingga ke dalam padang.

Norma lama dalam bola sepak Malaysia adalah kebergantungan kepada dana kerajaan negeri, hasil kutipan tiket dan diuruskan dalam keadaan asal boleh. Jadi Pahang tetap diuruskan dengan lama dan unik sehingga kini.

Belum pernah dalam sejarah bola sepak negara, sebuah pasukan bolasepak negeri menandatangani pemain import dan apabila Liga Malaysia bermula, pemain yang ditandatangani hilang entah ke mana dan tiba-tiba pemain import lain yang bermain. Nana Yaw, Borji antara nama lagenda yang pernah terpahat dalam senarai pemain import Pahang.

Belum pernah dalam sejarah bola sepak negara, sebuah pasukan mempunyai pusat latihan yang lengkap dengan pelbagai fasiliti canggih yang boleh diakses oleh semua pihak yang lokasinya terletak di Padang Gelora. Bukan hanya untuk pasukan utama malah untuk kesemua pasukan junior.

Namun demikian, ia tidak menghalang pasukan Pahang untuk bergerak ke hadapan tanpa menoleh lagi. Pahang juga antara pelopor untuk pemain yang sudah kehabisan kemuncak pada mulanya, namun diasah kembali menjadi tajam apabila bermain untuk pasukan Pahang.

Nama-nama seperti Razman Roslan, Francis Forkey Doe, Muslim Ahmad, Helmi Eliza, Amirul Hadi Zainal dan beberapa lagi pemain adalah bukti bahawa Pahang antara tempat pemain untuk kembali mencari prestasinya.

Ini menyebabkan ada beberapa pasukan terliur untuk mendapatkan pemain Pahang walaupun sebelum itu, pasukan tersebut membeli secara pukal atau borong dari pasukan Kelantan namun tetap kalah kepada Pahang.

Nama-nama seperti Amirul Hadi, Azamudin, dan Faizol Hussien yang pada mulanya antara pemain bola yang menyinar tiba-tiba menjadi malap.

Faizol Hussien pemain tengah pada ketika itu, antara pemain tengah yang mempunyai sepakan kiri yang padu tanpa memerlukan langkah yang banyak, tiba-tiba terus hilang dari radar bola sepak Malaysia dek kerana berpindah dari pasukan Pahang ke pasukan lain.

Inilah yang dinamakan ‘pioneer’. Segalanya hanya untuk kualiti. Bukan mahu mendabik dada tetapi inilah realiti yang perlu diakui oleh semua pihak dalam bola sepak.

Ada pasukan mampu membeli ramai pemain kerana kaya. Pemain ingin mempunyai gaji yang sedap tanpa tertunggak. Mempunyai kereta yang boleh ditayangkan di media sosial. Boleh bermain Tik Tok dan dinilai harga pasaran sehingga belasan juta.

Namun tak semua pasukan yang mampu untuk menyediakan platform atau tempat untuk mereka memulihkan prestasinya walaupun pasukan mereka mempunyai banyak duit.

Jika ada pemain yang terasa ingin untuk merasa gaji yang sedap, maka Pahang dengan rela hati melepaskan pemain tersebut. Bakat bukan hanya seorang. Seorang pemain pergi, pemain lain pula hadir.

Lihatlah Fazly Mazlan dan S.Kumaahran. Antara pemain yang hanya menjadi pemain picisan di pasukan lamanya. Sekadar menjadi hadiah sebagai pertukaran untuk mendapatkan pemain Pahang yang berstatus kapten walaupun pemain tersebut masih agak muda.

Tanpa membuang masa, Pahang cuba mengilap kembali permata yang sudah hilang kilauannya. Buktinya Kumaahran mula mendapat minit bermain dan lebih mengejutkan beliau berada dalam skuad utama Pahang.

Posisi beliau juga diubah dan Kumaahran dilihat mula serasi dengan posisi tersebut. Kualiti hantaran lintang beliau juga kelihatan lebih baik daripada bekas kapten muda Pahang sebelum ini.

Tidak mustahil Kumaahran juga akan dipanggil balik oleh bekas pasukan lama beliau untuk dijadikan pemain yang hanya bermain untuk perlawanan pra-musim. Lagipun Kumaahran juga berstatus pemain pinjaman.

Siapa tahukan? S.Kumaahran juga masih muda. Prestasi beliau mungkin meningkat jika diasah dengan betul. Tetapi seperti biasa, jika pemain ingin pergi. Pergi sahaja kerana Pahang sentiasa akan ada pemain yang boleh menjadi ganti pada bila-bila masa.

Jika keadaan meruncing dan pasukan mengalami kemerosotan prestasi, Pahang mempunyai senjata rahsia yang tidak lagi menjadi rahsia. Diselamatkan oleh FAM beberapa kali.

Begitulah keramatnya pasukan Pahang. Walaupun kehilangan status pasukan anak emas beberapa tahun lalu kepada pasukan lain. Namun pengaruh Pahang dalam FAM bukan lagi rahsia bagi peminat bolasepak Malaysia.

sumber : Labolamalaya

Jika Selangor dikenali sebagai pasukan Selangor Power Sampai Kiamat. Maka Pahang pula dikenali sebagai, PASUKAN KESAYANGAN RAMAI.