Schweinsteiger umum persaraan

JURULATIH pasukan Jerman, Joachim Loew berkata, Bastian Schweinsteiger sedia diterima menyertai barisan kejurulatihan selepas pemain tengah veteran itu mengumumkan persaraan hari ini.

“Sudah tiba masanya dan saya akan menamatkan karier aktif pada penghujung musim ini,” kata Schweinsteiger di Twitter.

“Mengucapkan selamat tinggal sebagai pemain aktif membuatkan saya berasa sangat nostalgia tetapi saya perlu memandang ke hadapan dengan cabaran baharu menunggu.”

Bekas pemain tengah Bayern Munich dan Manchester United berusia 35 tahun itu menggantung but selepas pasukannya sekarang, Chicago Fire gagal layak ke aksi play-off MLS.

“Kami sentiasa mempunyai tempat untuknya,” kata Loew di Dortmund yang bersiap sedia menerima kunjungan Argentina dalam aksi persahabatan esok.

“Saya tak tahu apa perancangan dia,” katanya. “Tetapi setiap pemain yang pernah beraksi bersama pasukan kebangsaan dan berhasrat menjadi jurulatih, dialu-alukan datang ke sini untuk mereliasasikan cita-cita.”

Bekas rakan sepasukan Schweinsteiger, Miroslav Klose turut menjadi sebahagian staf kejurulatihan sehingga Piala Dunia lalu.

Schweinsteiger bersara daripada pasukan kebangsaan pada 2016 selepas tampil dalam 121 perlawanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *