Sah ke Thailand

Bekas pemain tengah Terengganu Football Club (TFC), Thierry Chantha Bin disambar khidmatnya oleh sebuah kelab yang bersaing dalam kancah Liga Thailand.

Perkara itu diumumkan oleh kelab terbarunya, Sukhothai FC menerusi laman sosial rasminya, semalam. Thierry Bin turut berkongsikan perkara tersebut menerusi beberapa akaun media sosialnya.

“Pulang kembali ke Thailand. Tidak sabar rasanya untuk memulakan cabaran baharu bersama Sukhothai FC. Sangat gembira dan bersyukur atas peluang ini. Ayuh!” katanya setelah diumumkan sebagai pemain baharu skuad The Fire Bat.

Thierry Bin turut dilihat telah memulakan latihan bersama pasukan baharunya itu, semalam menerusi satu perkongsian oleh Sukhothai FC.

Musim 2019 menyaksikan Sukhothai FC menamatkan saingan Thai League 1 di tangga ke-12 dengan mengutip 34 mata daripada 30 perlawanan. 

Liga Thailand bukanlah sesuatu yang asing buat pemain kelahiran Perancis-Kemboja ini. Thierry Bin pernah beraksi bersama pasukan Krabi FC sekitar tahun 2017.

Semasa menyarung jersi TFC, pemain berusia 28 tahun ini merupakan tonggak utama pasukan terutamanya sepanjang musim 2018. Beliau antara salah seorang pemain yang memainkan peranan penting memacu pasukan berpengkalan di pantai timur itu mara ke pentas akhir Piala Malaysia.

Bagaimanapun, sepanjang musim 2019, persembahan Thierry Bin tidak begitu konsisten dan beliau banyak memanaskan bangku simpanan terutamanya pada penghujung musim.