Safawi mohon maaf

SAFAWI Rasid memohon maaf di atas prestasi merudumnya sepanjang tiga aksi musim ini kepada seluruh penyokong skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) termasuk pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dia yang ditegur Tunku Ismail susulan kejatuhan prestasi dikatakan sedang hangat bercinta dengan kekasihnya yang juga pelakon Syifa Melvin.

Menurut Tunku Ismail, Safawi hilang fokus hingga mengganggu persembahannya di dalam padang kerana tertekan dengan desakan Syifa yang mahu berkahwin.

Bagaimanapun, menerusi satu posting yang dimuat naik Safawi di laman Instagramnya, pemain yang memiliki tendangan kaki kiri cukup padu itu berjanji akan memperbaiki prestasinya selepas ini.

Walaupun tidak mendedahkan punca sebenar mengapa dia gagal memberikan aksi terbaik, namun t0nggak kelahiran Dungun, Terengganu itu tetap memohon maaf dan mengakui tanpa sokongan penyokong dia tidak akan ke mana-mana.

“Dalam masa yang sama, saya ingin minta maaf terhadap prestasi saya dan saya akan cuba tingkatkan tahap prestasi saya.

“InsyaAllah perlawnan berikutnya saya cuba bagi lagi yang terbaik untuk pasukan. Tanpa ada sok0ngan dari anda semua, belum tentu saya boleh berada pada tahap ini,” luah Safawi di laman Instagramnya.

Arena Metro cuba menghubungi pemain kebangsaan itu namun gagal apabila rakannya memaklumkan Safawi enggan ditemubual.

Sebelum ini, hubungan istimewa antara Safawi dan Syifa tidak perlu dirahsiakan lagi apabila pelaon itu pernah beberapa kali mendedahkan tentang hubungan cintanya bersama pemain JDT itu.

Malah, terbaru pada Januari lalu ketika menyambut hari kelahiran Syifa, pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) tahun lalu itu dikatakan membuat kejutan dengan menghadiahkan sebentuk cincin kepada kekasihnya itu.

Tindakan Safawi itu menguatkan lagi spekulasi bahawa pasangan itu kemungkinan bakal melangkah ke fasa lebih serius selepas ini.

Begitupun, aksi merudum Safawi ketika ini nyata tidak disenangi oleh Tunku Ismail yang mendakwa pemain kebangsaan itu tertekan kerana dipaksa berkahwin dengan Syifa.

Malah, Tunku Ismail turut mendedahkan pelakon berkenaan hanya mahu menumpang dia atas kekayaan dan populariti Safawi sebagai pemain bola sepak.