Saarvindran ada bincang dengan Pahang, Perak dan Selangor

Keinginan untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya merupakan antara faktor mendorong D.Saarvindran untuk menyertai Terengganu FC selepas kontraknya bersama Johor Darul Takzim II berakhir bulan lalu.

Dan bekas pemain Harimau Muda berusia 27 tahun itu mengakui sebelum menyertai Terengganu FC bimbingan Nafuzi Zain, dia juga ada mengadakan perbincangan dengan beberapa pasukan Liga Super lain.

“Memang selepas dilepaskan oleh JDT II, saya fikir saya perlu memburu peluang untuk bermain semula di Liga Super untuk mengembangkan lagi karier dan cuba merebut tempat dalam skuad kebangsaan. Peluang (bermain dengan Harimau Malaya) adalah lebih tinggi jika saya bermain dengan pasukan Liga Super, dan sudah tertulis rezeki saya bersama TFC selepas turut mengadakan perbincangan dengan Selangor , Perak dan Pahang.

“Saya tekad memberikan yang terbaik dan membantu TFC menjulang sekurang-kurangnya satu piala, berdasarkan barisan pemain yang ada saya fikir TFC boleh menjadi salah satu pencabar terkuat untuk musim 2020,” kata Saarvindran yang menyarung jersi JDT II selama tiga musim bermula 2017.

Sebagai rekod, Saarvindran yang merupakan produk Sekolah Sukan Bukit Jalil terlebih dahulu mencipta nama bersama skuad Harimau Muda B (2010 – 2012) dan kemudiannya Harimau Muda A (2012 – 2014) di mana dia muncul sebagai salah seorang pemain tonggak yang membantu skuad B-23 negara menjuarai Pestabola Merdeka 2013 dengan menewaskan Myanmar dalam aksi final.

Selepas pasukan muda negara itu dibubarkan dia membuat keputusan menyertai Pahang namun perjalanan karier yang dibelenggu kecede raan serta persaingan sengit untuk membvru tempat dalam kesebelasan Pahang menyaksikan peluang untuknya menjadi terhad.

Dia dipancing JDT II pada 2017 dan dalam tempoh tiga musim telah berjaya untuk memulihkan semula prestasi serta keyakinannya, dan dia adalah sebahagian daripada anggota skuad juara Piala Cabaran 2019.

Ketika aksi persahabatan pra-musim menen tang Kelantan di Kota Bharu pada Jumaat lalu yang berkesudahan seri 3-3, Saarvindran menjaringkan satu gol.

Foto : Terengganu FC