Rupanya Luqman Masih Terikat

PERPINDAHAN peny3rang sensasi muda negara, Luqman Hakim Shamsudin ke kelab Belgium, KV Kortrijk kini terletak di tangan pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, FAS telah bersetuju secara prinsipnya untuk melepaskan pemain berusia 18 tahun itu.

Menurutnya, FAS kini hanya menunggu keputusan akhir penjaring terbanyak Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 itu untuk memutuskan mengenai masa hadapannya.

“Antara kelab dengan kelab (KV Kortrijk) saya sahkan FAS secara prinsip telah bersetuju tetapi belum ada apa-apa (dokumen) ditandatangani sebab ia berkait rapat dengan perbincangan antara kelab dan pemain.

“Luqman kena kembali kepada FAS dengan jawapan. Jika beliau setuju dengan terma-terma yang ditetapkan baru semua pihak terlibat akan menandatangani segala dokumen rasmi,” katanya.

Terdahulu, ahli perniagaan terkemuka negara, Tan Sri Vincent Tan yang juga pemilik KV Kortrijk mendedahkan Luqman Hakim telah menjadi milik kelab profesional Belgium itu.

Bagaimanapun, Shahril berkata, Luqman Hakim masih milik Selangor 2 memandangkan FAS belum mengeluarkan surat pelepasan kepada pemain itu.

“Apa Vincent nak katakan terpulang kepada dia tetapi belum lagi ada dokumen rasmi yang telah ditandatangani. Setahu saya, FAS belum lepaskan Luqman secara rasmi. FAS belum ada keluarkan surat pelepasan selagi Luqman belum kembali kepada kami dengan apa yang beliau persetujui,” katanya.

Berdasarkan perancangan asal, Luqman Hakim sepatutnya menjalani latihan selama tiga bulan bersama kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Cardiff City pada Januari lepas sebagai persediaan sebelum ke KV Kortrij. Namun, hasrat itu terpaksa ditangguhkan susulan masalah visa dan penularan Covid-19. – Bernama

Sumber:SHarian