Rahsia ramuan sebelum jumpa Vietnam

JURULATIH Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu menjadikan aksi persahabatan dengan Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini sebagai ekperimen terhadap pemain yang jarang diturunkan sebelum mengharungi aksi ketiga pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan Vietnam Khamis depan.

Menurut Cheng Hoe, eksperimen tersebut adalah antara strateginya mencari ramuan baharu dalam skuad yang akan diturun­kan pada aksi dengan Vietnam nanti selain cara untuk mengekalkan prestasi cemerlang ketika berdepan Indonesia dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) tempoh hari.

Meskipun berdepan krisis kecederaan terhadap enam pemainnya, Cheng Hoe bagaimanapun tetap optimis Malaysia mampu meraih keputusan positif dan mengembalikan semula momentum terbaik mereka sebelum terbang ke Hanoi dalam misi mencari kemenangan.

“Sudah pasti perasaan ketika ini sedang bercampur baur kerana kami mahu mendapatkan keputusan yang baik dan mendapatkan semula momentum seperti mana kami lakukan sebelum ini.

“Seperti mana kita tahu, skuad negara telah me­nunjukkan aksi yang baik dalam dua aksi pembukaan ketika berdepan Indonesia dan UAE. Sudah tentu kami perlu berikan peluang kepada pemain yang jarang diturunkan kali ini dan saya telah ingatkan kepada mereka supaya tidak berasa tertekan.

“Pada masa sama, selepas empat hari menjalani latihan, kami sudah mencuba beberapa gandingan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan dengan Sri Lanka. Kami masih ada masa satu hari untuk membuat persediaan dan apa yang lebih penting ialah kami mahu semua pemain bebas daripada kecederaan,” katanya ketika sidang akhbar di Bukit Jalil semalam.

Sementara itu, pengendali Sri Lanka, Nizam Packeerali mengakui pasukannya kini berada dalam tahap terbaik selepas berjaya kembali beraksi di pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 buat kali pertama selepas 16 tahun.

Jelasnya, aksi persahabatan bertemu Malaysia bakal menjadi peluang keemasan untuk mereka membuat persiapan sebelum berdepan Korea Selatan lima hari kemudian.

“Aksi persahabatan kali ini pastinya bakal dimanfaatkan dengan sebaik mungkin kerana ia penting sebelum kami bertemu Korea Selatan.

“Kami akan cuba tampil dengan penuh kejutan selepas berada pada momentum terbaik kerana berjaya kembali bersaing dalam kempen ini sejak kali terakhir melakukannya 16 tahun yang lalu,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *