Potong Maksimum 30 Peratus

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia mengeluarkan garis panduan pelarasan gaji pemain dan pegawai bagi pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang masih gagal mendapat persetujuan membuat pemotongan gaji akibat krisis pandemik COVID-19.

Mengikut garis panduan itu, FAM menetapkan kadar maksimum pemotongan gaji yang dibenarkan adalah sebanyak 30 peratus yang mana ia dianggap adil dan setara berdasarkan situasi kewangan pasukan atau kelab.

Badan induk itu membahagikan kaedah kadar maksimum kepada empat kategori iaitu pemotongan 10 peratus bagi kategori 1 yang bergaji RM4,999 dan ke bawah, 15 peratus bagi kategori 2 (gaji RM5,000 hingga RM9,999), 20 peratus bagi kategori 3 (gaji RM10,000 hingga RM14,999) dan 30 peratus buat kategori 4 gaji RM15,000 ke atas.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam pada sidang media menerusi atas talian, di sini, hari ini, menjelaskan hanya separuh atau 50 peratus pasukan yang sudah mendapat persetujuan pemotongan gaji bersama pemain dan pegawai pasukan masing-masing.

Justeru, katanya, penetapan garis panduan itu terpaksa dibuat selepas berakhirnya tempoh dua minggu iaitu 9 April hingga 22 April lalu yang diberikan oleh FAM kepada semua pasukan untuk mencapai persetujuan bersama antara pemain dan pegawai pasukan masing-masing berhubung status penggajian dalam kontrak.Semua persetujuan bersama yang sudah dicapai dan dipersetujui sebelum ini oleh pemain dan pegawai di peringkat pasukan mengikut peratusan yang sudah ditetapkan perlu dihormati dan dilaksanakan oleh semua pihak dan tidak perlu mengikut garis panduan ini.

Sebagai contoh, Pasukan A yang sudah mencapai persetujuan untuk pemotongan gaji pemain dan pegawai sebanyak 10 peratus tidak boleh secara tiba-tiba mahu mengubah pula peratusannya mengikut kadar maksimum yang ditetapkan dalam garis panduan ini.Begitu juga pemain dan pegawai dari Pasukan B yang sudah bersetuju untuk pemotongan gaji sebanyak 40 peratus sebelum ini tidak boleh secara tiba-tiba mahu mengikut pula kadar peratusan maksimum seperti ditetapkan dalam garis panduan ini.

Bagaimanapun, sebarang penambahan peratusan atau jumlah pemotongan gaji yang melebihi kadar 30 peratus itu perlu dikira sebagai penangguhan pembayaran dan ia adalah berdasarkan persetujuan bersama selepas perbincangan secara muhibah di antara pasukan atau kelab, pemain dan pegawai, katanya.Selain itu, Stuart menegaskan pemotongan gaji itu hanya boleh dimulakan pasukan bagi April lalu hingga bulan berikutnya selepas tarikh saingan Liga M disambung semula.

Peratusan pemotongan gaji untuk April bagi Kategori 1, 2 dan 3 sama seperti dalam garis panduan, manakala bagi Kategori 4, pemotongan gaji April adalah sebanyak 25 peratus sahaja dan pemotongan sebanyak 30 peratus itu hanya akan bermula gaji Mei dan seterusnya.

Jika saingan disambung semula pada Julai 2020, gaji bulan berkenaan masih dipotong dan gaji penuh hanya akan bermula pada Ogos 2020. Jika saingan bersambung pada Ogos 2020, maka gaji penuh hanya akan bermula September 2020, katanya.