Polis tenangkan Ross Barkley

LONDON 1 Okt. – Akibat bertelagah dengan pemandu teksi, bintang England, Ross Barkley terpaksa diiringi pegawai polis ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) ketika lewat malam.

Pemain tengah Chelsea itu bertikam lidah dengan pemandu teksi selepas chips untuk membayar tambang terjatuh di bahagian belakang kenderaan berkenaan. Pihak polis terpaksa dihubungi untuk meleraikan insiden itu yang berlaku di Liverpool sebelum pegawai keselamatan berbincang dengan Barkley selama beberapa minit.

Saksi di tempat kejadian memberitahu, hasil rundingan pihak polis dengan pemain berkenaan akhirnya Barkley bersetuju membayar tambang kepada pemandu teksi. Bagaimanapun, insiden itu dijadikan gurauan orang ramai apabila ada yang mengatakan pemain Chelsea tersebut tidak mampu membayar teksi.

Ada juga yang memuat naik dalam media sosial dengan ayat-ayat sinis seperti: “Ini lebih baik daripada Corrie!.”

Kejadian berkenaan dilaporkan berlaku sekitar pukul 11 malam Ahad lalu, apabila chips yang sepatutnya digunakan untuk membayar tambang terjatuh, namun, tiada usaha untuk mencari semula daripada kedua-dua pihak.

Barkley dikatakan enggan membayar tambang kerana pemandu teksi itu enggan mencari chips yang dijatuhkan pemain berkenaan secara tidak sengaja. Ketegangan antara dua individu itu berlarutan sehingga pihak polis terpaksa dipanggil bagi meleraikan situasi tidak harmoni sebelum Barkley diiringi polis ke ATM bagi mengeluarkan duit di Hardman Street.

Bagaimanapun, pihak polis di kawasan berkenaan menafikan menerima laporan berhubung insiden itu. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *