Perkhabaran Gembira Untuk Peminat Malaysia

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam memberi bayangan saingan Liga Malaysia 2020 akan kembali lebih awal pada bulan Ogos ini jika angka kes wabak pandemik COVID-19 terus menunjukkan tanda pengurangan.

Menurut laporan daripada Bernama, beliau juga tidak menolak kemungkinan semua pasukan dibenarkan menjalani latihan pada bulan Julai bergantung pada kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

MKN sebelum ini telah menolak perancangan FAM dan badan pengendali liga, Malaysia Football League (MFL) untuk memulakan saingan liga pada awal bulan Julai namun peluang aktiviti bola sepak untuk kembali agak cerah berdasarkan situasi semasa kes wabak pandemik.

Dua kertas kerja melibatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) latihan pasukan kebangsaan dan kelab-kelab Liga Malaysia bakal dihantar kepada MKN pada minggu depan.

Ya jika anda melihat perangkaan kes, besar kemungkinan (liga disambung balik awal) tetapi kami akan tetap bersabar. Bagaimanapun, sekiranya banyak sektor mula dibuka, angka (kes) mula menurun dan kami boleh melihat bola sepak dimainkan kembali tidak lama lagi.

Bagaimanapun, rancangan kami adalah liga kembali berlatih dalam Ogos dan bermain dalam September. Jadi, tarikh akhirnya begitu tetapi kalau lebih cepat lebih baik untuk semua orang, jelasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan dalam satu kenyataan baru-baru ini memberitahu MFL akan mengenakan tindakan keras kepada mana-mana pasukan Liga Malaysia jika mereka didapati bersalah melanggar arahan mengadakan sesi latihan dalam tempoh Perintahan Kawalan Pengerakan Bersyarat (PKPB).

Selaras dengan surat pekeliling yang telah diedarkan kepada semua pemegang taruh Liga Malaysia, pasukan tidak dibenarkan mengadakan sebarang sesi latihan termasuk sesi latihan berskala kecil, sesi senaman di gymnasium atau sebagainya memandangkan ia adalah arahan daripada MKN, KKM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

MFL akan sentiasa mengikuti arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) daripada pihak kerajaan dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pasukan yang didapati melanggar perintah tersebut daripada MFL menerusi Ahli Lembaga Pengarah.

Diharap kesemua pasukan dapat bersabar terlebih dahulu untuk mengadakan sebarang program latihan di mana kita haruslah memenuhi tuntutan daripada pihak berkuasa dalam usaha memastikan semua pasukan mematuhi SOP seperti yang diarahkan oleh KKM, katanya.