Penyokong Tidak Suka Kelantan United Guna Gelaran ‘The Real Warr!ors’,

Pihak pengurusan Kelantan United pada penghujung tahun lepas ada mengumumkan bahawa pihaknya sedang mencari nama gelaran baharu yang akan digunakan pasukan tersebut yang bakal beraksi di saingan Liga Premier buat kali pertama pada tahun ini.

Dalam hantaran pasukan tersebut di akaun Facebook baru-baru ini, Kelantan United dilihat menggunakan nama ‘The Real Warr!ors’ dan berkemungkinan besar itulah gelaran terbaru yang akan dipakai secara rasmi.

Namun demikian, keputusan pihak pengurusan Kelantan United untuk menggunakan perkataan ‘Warr!ors’ ternyata tidak disenangi oleh sebahagian penyokong yang mahu pasukan berkenaan menggunakan identiti berbeza dengan Kelantan FA yang sudah cukup sinonim dengan gelaran The Red Warr!ors (TRW).
.
Ada yang berpendapat Kelantan United perlu meneruskan imej sedia ada dan menganggap penggunaan kijang sebagai identiti pasukan perlu dikekalkan. Pasukan yang berpangkalan di Kota Bharu itu sebelum ini menggunakan gelaran ‘Sang Kijang Hijau’ serta memilih warna merah dan hijau sebagai warna jersi utama pasukan.

Sebahagian pemerhati bola sepak mengandaikan pemilihan warna hijau tersebut disebabkan ‘sentimen politik’ memandangkan sumber kewangan pasukan tersebut sedikit sebanyak dibantu oleh kerajaan negeri Kelantan.
.
“Manchester United guna gelaran ‘Red Dev!ls’, Manchester City tak guna pun ‘Blue Dev!ls’, tapi ‘The Citizens’. Sepatutnya Kelantan United tidak dibayangi dengan imej TRW. Cipta gelaran lain yang tiada kena mengena dengan Kelantan FA,” ujar seorang penyokong dalam salah satu komen.

Terdapat beberapa cadangan diberikan sebagai alternatif seperti The Green Deer, The Kijang Army, The Green F!ghters dan sebagainya. Dengan kedua-dua pasukan bertapak di negeri yang sama, penggunaan nama gelaran yang mirip dikhuatiri akan menimbulkan perbalahan yang tidak berkesudahan mengenai siapakah ‘Warr!ors’ yang sebenar.

Sekiranya gelaran tersebut masih belum ‘digazet’ secara rasmi, diharapkan pihak pengurusan Kelantan United dapat mengambil kira pandangan penyokong mengenai perkara tersebut.

credit : @mysemuanyabola