Pengadil tempatan adili final Piala Malaysia

KUALA LUMPUR 2 Okt.- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, mengesahkan tanggungjawab mengendali perlawanan final kembali diserahkan kepada pengadil tempatan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia yang bakal berlangsung pada 2 November nanti.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan FAM, Md. Dali Wahid berkata penggunaan khidmat pengadil luar sebelum ini adalah sekadar percubaan dan pihaknya masih menaruh kepercayaan tinggi terhadap kemampuan pengadil tempatan.

Secara keseluruhan, prestasi pengadil tempatan berada di tahap yang baik sepanjang mengendali perlawanan membabitkan Liga Malaysia dan beliau tidak melihat mengapa mereka harus diketepikan daripada mengendali aksi final berkenaan.

“Semasa final Piala FA (Julai lalu) khidmat pengadil daripada luar hanya percubaan, sekarang kita tengok pengadil kita masih berkemampuan dan mempunyai kelayakan untuk mengendali perlawanan tersebut, Jadi tiada sebab untuk kita tidak memberi peluang kepada mereka.

“Kesilapan yang dilakukan pada final musim lalu dijadikan pengajaran berguna kepada kita. Dari segi pemilihan, kita akan pilih pengadil terbaik dan mempunyai konsistensi sejak daripada permulaan Liga Malaysia musim ini hingga sekarang.

“Sudah semestinya pengadil itu kurang melakukan kesilapan dan sentiasa mendapat markah yang tinggi dalam setiap perlawanan yang diadilinya, kita akan ketengahkan pengadil itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengadil FAM di sini hari ini.

Terdahulu, keputusan FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berani membuat perubahan dengan menggunakan khidmat tiga pengadil luar mengendali final Piala FA 2019 mendapat pujian ramai.

Rata-rata penyokong bola sepak Malaysia memuji kecemerlangan pengadil dari Jepun, Takuto Okabe dan dua orang rakan senegaranya, Yagi Akane dan Nomura Osamu mengendali aksi final itu yang disifatkan mutu pengadilan bertaraf dunia.

Ketenangan Okabe mengawal perlawanan, tidak melayan provokasi dan membuat keputusan tepat membuat peminat teruja dengan kredibiliti dipamerkan pengadil tersebut dan pembantunya sekali gus menjadi kayu pengukur kepada pengadil tempatan.

Tahun lalu, mutu pengadilan dalam final Piala Malaysia di antara Perak menentang Terengganu menjadi buah mulut selepas pengadil, Suresh Jayaraman membuat beberapa keputusan kontroversi sehingga mengundang kritikan daripada bekas Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Kita sentiasa menambahbaik dan meningkat prestasi pengadil tempatan selain beberapa pengadil kita turut dijemput mengadili perlawanan di luar negara dan juga kelayakan Piala Dunia 2022. Maknanya AFC juga mengiktirafkan kualiti yang dimiliki pengadil Malaysia.

“Bermakna prestasi pengadil tempatan tidak seteruk yang dikatakan. Sejujurnya saya agak kecewa dengan pegawai pasukan dan jurulatih yang menyalahkan pengadil jika pasukannya tewas dengan mengkritik dalam media sosial dan sidang akhbar, kita memandang serius perkara ini dan akan mengenakan tindakan tegas kepada mereka kecuali menghantar aduan rasmi menerusi saluran yang betul,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *