Pendedahan‘hal dalam kain’ bola sepak negara

LIM Teong Kim kembali ke Munich selepas tugasnya sebagai Pegarah Teknikal di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang berakhir pada Khamis lalu.

Dikenali sebagai seorang yang lantang dalam memberi kritikan dan pandangan terhadap pembangunan bola sepak negara, Teong Kim mengakui ramai individu yang tidak menyukai sikapnya.

Bagaimanapun bekas pengendali Akademi Remaja Bayern Munich berusia 56 tahun ini tidak mempedulikan perkara itu kerana misinya hanya untuk melahirkan ramai pemain muda yang berkaliber.

Jelas Teong Kim, NFDP sehingga kini sudah membuktikan program ini berada di landasan tepat dengan melahirkan ramai pemain berjaya dan terpilih menyertai skuad negara.

Teong Kim (kanan) bersama Pengurus Besar AMD Muhammad Yusof Ibrahim sebelum menaiki pesawat ke Munich.

“Bukan seorang, tetapi terbaharu 12 pemain. Jadi sebenarnya ia bukan lagi program yang gagal seperti yang disebut sebelum ini, sebaliknya ada isu lain iaitu tidak sukakan saya.

“Tetapi saya tidak kisah kerana program ini sudah terbukti hasilnya apabila ramai pemain-pemain AMD dipanggil dalam Skuad Bawah 18 Tahun (B-18), sudah tentu kalau sebelum ini kita layak ke Piala Dunia Bawah 17 ia sangat bagus.

“Tetapi perlu ingat bahawa misi dan visi program ini adalah untuk melahirkan ramai pemain yang berjaya menempatkan diri dalam skuad  kebangsaan dan antarabangsa, dan kalau program ini gagal, kenapa ramai pemain AMD berada dalam senarai mereka?

Mereka ingat kalau tanam durian, esok terus berbuah ke? Mereka tidak memahami tentang mengajar jurulatih dengan cara betul di peringkat remaja.

LIM TEONG KIM

Bekas Pengarah Teknikal AMD

“Mereka yang selalu mengkritik program ini adalah mereka yang buta tentang pembangunan bola sepak.

“Mereka ingat kalau tanam durian, esok boleh terus berbuah ke? Mereka tidak memahami tentang mengajar jurulatih dengan cara yang betul di peringkat remaja,” ujarnya kepada mStar sebelum berlepas ke Munich pada Jumaat.

Bekas pemain kebangsaan ini memberitahu, bola sepak Malaysia tidak akan pergi lebih jauh daripada sekarang kalau mentaliti tidak diubah.

“Sikap nak menang cepat (pasukan remaja) tidak akan membawa Malaysia pergi lebih jauh, peringkat Asean, Asia atau dunia.

“DNA sudah ada dan ikut sahaja program ini. Tak perlu nak adakan DNA program pembangunan lain seperti F:30.

Teong Kim mengakui pemain-pemain AMD banyak menunjukkan peningkatan sepanjang lima tahun mengendalikan program pembangunan. Foto: AMD

“Apa yang saya lihat setakat ia tidak banyak perbezaan dengan program yang telah sedia ada. Hanya kerana ego semua perkara yang beri hasil baik nak diubah,” jelasnya.

Sebagai rekod, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melantik bekas pemain kelab Hertha Berlin 1987 di Bundesliga Jerman itu sebagai Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) pada tahun 2013 dengan diberi kontrak selama lima tahun oleh Majlis Sukan Negara (MSN), selaku urus setia program berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *