Pemain Ini Dalam Radar KDAFC dan TFC

Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC , Nafuzi Zain menafikan desas-desus sebelum ini mengaitkan pemain import UiTM FC, Rabih Ataya yang kini hampir pasti menyarung jersi Kedah bakal berhijrah bersama skuad Penyu musim depan.

Malah beliau akui pemain kelahiran Lebanon itu tiada dalam radar pasukan selain tidak pernah berbincang dengan pemain berusia 31 tahun itu untuk mengisi kuota Asia bagi menggantikan pemain tengah Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov yang setakat ini belum pasti lagi statusnya sama ada kekal ataupun sebaliknya.Tidak dinafikan pemain itu Ataya menonjol bersama pasukan UiTM musim ini, tapi saya tidak pernah berbincang dengan pihak pengurusan ataupun dengan pemain itu sendiri untuk menyertai pasukan TFC musim depan.

Lagipun masih ada masa lagi untuk kita menilai dan memilih pemain import baharu, bagi pemain tempatan pula kita sedang usahakan beberapa pemain untuk memperkuatkan pasukan yang bakal bersaing dalam kancah Piala AFC selain Liga Malaysia .Namun saya tidak boleh maklumkan lagi nama mereka kerana pemain berkenaan masih ada kontrak dengan pasukan masing-masing sehingga akhir bulan ini, katanya.

Berkenaan dengan kuota Asean selepas pemain kebangsaan Singapura, Muhammad Faris Ramli sudah mengucapkan selamat tinggal bersama pasukan itu musim depan, jurulatih kelahiran Kelantan itu akui masih dalam pencarian untuk menggantikan pemain sayap itu.

Masih ada pemain yang berkualiti di luar sana jika kita betul-betul cari antaranya dalam Liga Thailand dan Vietnam yang menonjol, katanya.Sebelum ini TFC Sdn Bhd akui berminat untuk mendapatkan khidmat pemain tengah kebangsaan Indonesia, Evan Dimas yang pernah menyarung jersi pasukan Selangor pada 2018, namun terpaksa membatalkan hasrat itu kerana tidak mampu untuk menampung kos yang ditawarkan ejen pemain berkenaan yang disifatkan tinggi.

Disebabkan langkah penjimatan pasukan musim depan juga menjadi faktor TFC Sdn Bhd mengambil masa untuk mengumumkan status kapten, Lee Tuck sama ada akan dikekalkan ataupun sebaliknya walaupun sebelum ini pemain itu menyatakan minat untuk terus kekal menyarung jersi pasukan itu.

sumber:HM