Peluang luqman cerah

Ketiadaan bintang sensasi Malaysia, Muhammad Safawi Rasid, dalam skuad B-22 negara bagi menghadapi Sukan SEA Filipina dirasai peny3rang muda meningkat naik, Luqman Hakim Shamsudin.

Luqman Hakim, 17, antara enam pemain skuad B-18 negara, yang dipanggil menyertai kem latihan skuad B-22 kendalian ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, dalam usaha melakar kejayaan membanggakan di Filipina.

Mengakui beraksi di pentas Sukan SEA merupakan impiannya, Luqman Hakim turut menyimpan hasrat untuk menimba pengalaman bermain bersama Muhammad Safawi selain seorang lagi pemain kebangsaan, Muhammad Akhyar Abdul Rashid.

“Bermain untuk pasukan negara dalam Sukan SEA adalah apa yang saya impikan selama ini. Dalam edisi 2017 di Kuala Lumpur, saya hanya menyaksikannya sebagai seorang penonton dan sejak itu saya berazam untuk berada dalam skuad untuk edisi 2019.

“Saya juga selalu mengimpikan untuk beraksi bersama mereka berdua (Muhammad Safawi dan Muhammad Akhyar) jika diberikan peluang oleh jurulatih,” katanya ketika ditemui pemberita dalam sidang media Kejohanan Bola Sepak Junior Antarabangsa RSC-Datuk Chu Ah Nge, Edisi ke-15 di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, pemain kelahiran Kelantan itu, yang menjadi pemain Malaysia pertama yang ditawarkan kontrak beraksi bersama kelab Liga Profesional Belgium, KV Kortrijk, berazam untuk membalas kepercayaan Kim Swee sekiranya tersenarai dalam senarai akhir 20 pemain ke Sukan SEA.

“Ia satu tugas yang berat (jika terpilih) tetapi saya sedia memberikan segalanya jika terpilih. Soal tekanan itu saya tidak mahu terlalu memikirkan kerana saya hanya mahu berikan yang terbaik dalam latihan dan perlawanan,” tambahnya.

Kim Swee pada hari ini membuat kejutan dengan tidak menamakan Muhammad Safawi dalam senarai tujuh pemain skuad Harimau Malaya yang dipanggil ke kem latihan pasukan B-22 negara.

Tujuh pemain tersebut adalah Muhammad Akhyar, Mohamed Syamer Kutty Abba, Muhammad Haziq Nadzli dan Adam Nor Azlin (JDT); Danial Amier Norhisham (Felda United), Dominic Tan (Police Tero FC) dan Muhammad Syahmi Safari dari Selangor.

Hanya 20 pemain akan dibawa ke Manila, Sabtu ini, bagi membawa cabaran negara sekali gus menebus kekec3waan gagal meraih pingat emas dalam edisi dua tahun lalu setelah tewas 0-1 kepada Thailand di pentas final.

Sementara itu, Kejohanan Bola Sepak Junior Antarabangsa RSC-Datuk Chu Ah Nge Edisi ke-15 itu akan berlangsung selama dua hari, pada 30 Nov hingga 1 Dis, di Kelab Sukan Diraja Selangor, Bukit Kiara.

Sebanyak 81 pasukan yang melibatkan 1,000 pemain dari enam negara; Malaysia, Jepun, Vietnam, Thailand, Indonesia dan Maldives akan bersaing di setiap peringkat umur; B-8, B-10, B-12, B-14 dan B-16

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *