Pelakon Zarina Zainuddin didenda RM17,500

PETALING JAYA – Gara-gara memiliki dan menjual barangan kosmetik tanpa notifikasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pelakon Zarina Zainuddin didenda  RM17,500 oleh Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi. 

Zarina, 49, selaku Orang Kena Saman (OKS) mewakili syarikat Addura Marketing Sdn. Bhd. membuat pengakuan itu selepas lapan pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret M. Bharat.

Mengikut pertuduhan pertama Zarina sebagai pengarah Syarikat Addura Marketing Sdn Bhd didakwa menjual satu set kosmetik mengandungi sekotak Addura Black Soap, satu bekas Addura Day Cream (tujuh gram), satu bekas Addura Night Cream (tujuh mililiter ).

Bagi pertuduhan kedua, ibu kepada empat anak itu didakwa memiliki tiga set sama.

Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, Zarina didakwa atas pertuduhan memiliki kosmetik yang tidak bernotifikasi masing-masing 68 kotak Addura Black Soap; 279 bekas Addura Day Cream; 89 bekas Addura Day Cream (tujuh gram); dan 205 bekas Addura Day Cream (10 mililiter).

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis Addura Marketing di Subang Jaya, di sini, pukul 11.45 pagi, 9 Januari lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18A(1) Peraturan peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang menjadi kesalahan di bawah Peraturan 18A (15) peraturan yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 bagi kesalahan pertama atau maksimim RM100,000 bagi kesalahan kedua jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Cawangan Penguatkuasa Farmasi (CPF) CPF Selangor, Ong Sally memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap Zarina mengambil kira faktor ia bukanlah kesalahan kali pertama yang dilakukannya.

“Perbuatan menjual barangan terutamanya kosmetik yang tidak diketahui kandungannya adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab selain tidak diketahui keberkesanannya sekaligus ia akan mendatangkan bahaya kepada pengguna.

“Justeru bagi melindungi keselamatan orang awam saya mohon mahkamah menjatuhkan satu hukuman setimpal terhadap OKS,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon itu yang tidak diwakili peguam sambil menitiskan air mata merayu hukuman ringan atas alasan penjualan kosmetik itu telah dihentikan dan kini memulakan perniagaan lain.

Mengikut fakta kes, sepasukan penguatkuasa dari Cawangan Penguatkuasa Farmasi (CPF) KKM telah menyerbu premis tersebut berdasarkan aduan dari orang awam dan salah seorang pegawai dari KKM telah menyamar sebagai pembeli barangan kosmetik yang dijual di premis itu.

Zarina kemudian telah keluar dan memperkenalkan diri sebagai pengarah syarikat dan hasil pemeriksaan mendapati barangan kosmetik yang dijual tidak bernotifikasi oleh KKM. – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *