Malaysia Tunggu Kedatangan Park Hang-Seo

Selepas gagal membawa Vietnam mengulangi pencapaian edisi lalu di Kejohanan AFC B-23, Park Hang-seo kini mengalih tumpuan semula kepada pusingan kelayakan Piala Dunia berdepan Malaysia pada 31 Mac depan di Stadium Nasional Bukit Jalil.Vietnam menamatkan saingan di kejohanan dwi tahunan itu di kedudukan tercorot tanpa sebarang kemenangan dengan hanya dua mata, persembahan terburuk mereka selepas melangkah ke pentas akhir pada edisi 2018 untuk meraih gelaran naib juara.

Mengakui kecewa dengan persembahan anak buahnya kali ini namun, pengendali berusia 61 tahun itu tetap berpuas hati dengan persembahan pemain-pemain baharu yang dibawanya untuk beraksi ke kejohanan kali ini.“Perkara positif yang didapati pada kejohanan kali ini adalah persembahan pemain-pemain baharu yang telah dibawa ke dalam pasukan. Mereka boleh mewakili skuad kebangsaan satu masa nanti.

“Dengan tiada lagi aksi untuk aksi skuad B-23 pada tahun ini, kita akan beri tumpuan untuk skuad kebangsaan. Kita akan berdepan Malaysia pada penghujung Mac dan kita mahukan kemenangan,” jelas Park Hang-seo.

Selepas menyaksikan kebangkitan mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan ini, seperti melangkah ke suku akhir Piala Asia 2019, memenangi Piala AFF Suzuki 2018, meraih naib juara Kejohanan AFC B-23 2018, ini adalah kegagalan pertama Park Hang-seo.

“Maafkan saya [kepada penyokong]. Dalam tiga perlawanan, kita seri dua kali dan kalah sekali. Dua tahun lalu, kita adalah naib juara, jadi jelas di sini yang ia sangat mengecewakan. Pemain saya telah mencuba yang terbaik, tetapi banyak lagi yang perlu diperbaiki.“Sukar untuk mencari perkara positif dalam persembahan kami kali ini apabila tersingkir awal daripada kejohanan dan hanya meledak satu jaringan,” tambahnya lagi kepada pihak media sejurus tamat perlawanan terakhir kumpulan.

“Sukar untuk bercerita mengenai kekalahan. Tetapi inilah masanya untuk Vietnam untuk merasai perasaan tersebut,” ujarnya sambil menjelaskan yang dalam edisi kali ini jelas pasukan-pasukan lawan menampilkan skuad yang mantap.