Pahang FA Temui Pengganti Safuwan Baharudin

Naib juara Liga Super 2019, Pahang nampaknya telah menemui pengganti Safuwan Baharudin bagi mengisi kuota pemain import slot Asia Tenggara (ASEAN) dengan membawa masuk pemain kacukkan Filipina-England, Adam Michael Reed.

Meskipun Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) belum membuat sebarang pengumuman rasmi, namun kelibat pemain berusia 28 tahun itu yang merupakan pemain kebangsaan Filipina telahpun kelihatan menjalani latihan bersama skuad Dollah Salleh itu di Taman Gelora.

Berdasarkan semakan, Adam Reed yang beraksi di posisi tengah bertahan pernah menyertai beberapa pasukan Liga Inggeris di awal karier antaranya Sunderland, Bradford dan Portsmouth namun kariernya benar-benar berkembang selepas dia berhijrah ke Filipina untuk mewakili Kaya FC pada 2017 dan kemudiannya Davao Aguilas pada 2018, sebelum menyertai kelab Liga Thai, Chainat Hornbill pada 2019.

Sebagai rekod, Pahang sebelum ini membuat keputusan mengekalkan hanya pemain pertahanan bertubuh sasa Herold Mark Goulon dan melepaskan empat pemain iaitu Lazarus Kaimbi, Dickson Nwakaeme, Safuwan dan Saddil Ramdani.

Dengan kemasukan Adam Reed bermakna dia adalah pemain import kedua direkrut tok gajah, dan baru-baru ini Dollah Salleh telah menguji bekas pemenang kasut emas Liga Super, Francis Forkey Doe ketika aksi persahabatan menentng Ultimate FC namun belum ada sebarang perkembangan mengenai status pemain berasal dari Liberia itu.

Pahang juga telah menguji pemain lain termasuklah bekas penye rang UKM FC Michael Ijezie Chukwubuna namun difahamkan gagal menambat perhatian barisan kejurulatihan.

Manakala status Dickson dan Lazarus yang dipercayai akan menyertai semula Pahang setelah kedua-duanya kembali ke bumi Malaysia beberapa minggu lalu, juga belum ada sebarang perkembangan.

Dengan Liga Malaysia akan membuka tirainya dalam masa sebulan daripada sekarang, nampaknya masa semakin suntuk buat Pahang untuk mencari, menguji dan mendapatkan pemain import yang benar-benar berkualiti, melainkan pemain yang dibawa masuk itu sememangnya seorang yang sudah ‘proven’.

Difahamkan Pahang akan menurunkan kesemua lima pemain import pada 29 Januari ini ketika aksi pra musim menentang Uitm FC di Stadium Temerloh.

Foto : IG Adam Reed