Nenek 70 tahun rugi akibat terjerat cinta

EBERANG PERAI – Seorang wanita warga emas di Kepala Batas di sini kerugian sebanyak RM8,350 selepas terpedaya dengan kata-kata manis kekasih alam mayanya semalam.

Mangsa berusia 70 tahun itu terjerat dalam sindiket Love Scam tersebut selepas berkenalan dengan lelaki yang mendakwa bekerja sebagai doktor di Amerika Syarikat menerusi laman sembang Twoo pada Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, ‘doktor’ itu telah memberitahu mangsa bahawa dia akan menerima bungkusan berisi barang berharga dan sejumlah wang tunai untuk dilaburkan di Malaysia.

“Mangsa kemudiannya menerima panggilan daripada individu mendakwa ajen kurier sambil memberitahu bahawa barangan tersebut telah sampai di Kuala Lumpur.

“Mangsa bagaimanapun disuruh membuat pembayaran terlebih dahulu dan tanpa berfikir panjang dan percayakan suspek, dia membuat beberapa kali bayaran ke dalam akaun bank yang diberikan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Norzainy berkata, siasatan mendapati mangsa telah melakukan sebanyak lapan transaksi deposit ke dalam tiga akaun bank berlainan dalam masa tiga minggu kepada akaun berkenaan.

“Ia melibatkan wang keseluruhan RM8,350 yang didakwa sebagai bayaran untuk pelepasan bungkusan yang bakal mangsa terima.

“Bagaimanapun mangsa sedar dirinya ditipu setelah meminta nasihat daripada kawannya sebelum dia membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *