Naim Daniel cedera demi klip video

SELEPAS Sumpah yang begitu menjadi, pelakon dan penyanyi Naim Daniel kembali dengan single terbaharu berjudul Adakah Engkau Menungguku nukilan bersama komposer Adib Hamdi.

Menariknya, buah tangan bersulam elemen pop tersebut turut menampilkan kerjasama sulung antara Naim dengan penyanyi rap kelahiran Sabah, Tuju dari segi penulisan lirik dan paduan vokal.

Berlainan dengan Sumpah yang sarat melankolik, Adakah Kau Engkau Menungguku pula digubah lebih progresif, bahkan Naim mencuba pembaharuan dengan mengetengahkan sukan seni pertahanan diri atau mixed martial arts (MMA) ke dalam klip video lagu berkenaan.

Demi mendapatkan aksi sempurna seiring konsep yang dimahukan, kesungguhan Naim bagaimanapun diduga apabila mengalami kecederaan pada kaki kirinya sewaktu dalam satu sesi latihan kickboxing.

Akibat kecederaan yang dialami, aktor Bisik Pada Langit tidak dapat meluruskan kaki dengan sempurna akibat kecederaan otot.

Namun, demi semangat dan janji yang telah dipertaruhkan kepada peminat, pembikinan klip video Adakah Engkau Menungguku tetap berjalan sebagaimana dirancang.

Ikuti sesi temu bual bersama pelakon watak Budi yang berjaya meruntun hati penonton menerusi drama berjudul Pia itu sewaktu ditemui pada pelancaran lagu terbaharunya itu di Bentley Music, Damansara baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh Naim ceritakan sedikit tentang yang tersurat di sebalik lagu Adakah Engkau Menungguku?

NAIM: Lagu ini menceritakan perasaan seorang yang berada dalam sebuah perhubungan dan sedang bertarung untuk mengembalikan semula memori indah mereka sebelum ini.

Jadi, dalam klip video nanti ada diterapkan visual ikatan kekeluargaan iaitu adik-beradik yang dahulunya begitu akrab. Bagi saya, kasih sayang tidak hanya tertumpu terhadap cinta buat pasangan kekasih. Setiap adegan dalam klip video berkait rapat dengan lirik dan makna lagu.

Mengapa anda memilih sukan kickboxing untuk dimasukkan dalam klip video lagu berkenaan?

Sebelum ini, klip video lagu tampak manja dan kurang dari aspek sinematografi. Saya gunakan elemen animasi untuk lagu Sumpah dan Sempurna pula bermain dengan panorama serta pencahayaan, jadi kali ini saya mahu satu langkah ke hadapan.

Sebenarnya, saya mahu mencabar diri dan mengetahui tahap ketahanan diri dalam pelbagai aspek. Jadi, terlintas dalam fikiran untuk mencuba seni mempertahankan diri kickboxing. Saya juga tidak pernah mencuba sukan berkenaan, jadi ini kali pertama saya lakukan aksi lasak.

Bagaimana rasanya pertama kali berlatih kickboxing?

Latihan sangat sukar dan memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang kuat. Pada hari pertama latihan, saya mengalami kecederaan pada bahagian kaki kiri.

Semasa membuat latihan bersama jurulatih profesional, kaki saya terseliuh tetapi pada mulanya tidak berasa sakit. Namun, lama-kelamaan kaki mula membengkak dan tidak boleh diluruskan dengan sempurna.

Risau juga kerana selepas penggambaran klip video saya perlu jayakan persembahan di Pulau Pinang. Jadi, untuk mengelakkan pertindihan jadual saya gagahkan diri untuk menjayakan juga adegan kickboxing selepas menjalani latihan selama dua hari.

Bagaimana keadaan kaki anda?

Alhamdulillah, kaki saya sudah pulih selepas mendapatkan rawatan. Klip video juga dapat disiapkan dalam masa sehari kerana pasukan penerbitan telah membuat susunan adegan lebih awal bagi memudahkan proses suntingan.

Saya sendiri tidak mahu tangguhkan kerja hanya kerana kecederaan ringan, selagi boleh bertahan, saya teruskan kerana tidak mahu menimbulkan kesulitan kepada kru produksi.

Melihat pencapaian Sumpah yang boleh dianggap cemerlang, bagaimana pula harapan untuk single terbaharu?

Harap lagu ini dapat diterima. Dari awal lagi, saya cuba hasilkan sebuah karya yang sekali dengar, irama dan liriknya akan melekat dalam fikiran pendengar.

Lagu kali ini memang sesuai untuk persembahan, mudah diingati dinyanyikan bersama. Saya mahu peminat gembira dan berasa senang apabila mendengar nyanyian saya.

Bagaimana pula dengan perkembangan kerja lakonan anda?

Saya akan memulakan penggambaran sebuah telefilem arahan Kabir Bhatia tidak lama lagi. Drama berkenaan mengisahkan kehidupan seorang penyanyi rap dan penggambaran akan dilakukan di Ipoh, Perak. Saya sangat teruja untuk mulakan penggambaran kerana kali pertama akan melakonkan watak penyanyi rap. Semoga rezeki lakonan dan nyanyian saya akan seiring, sebab kedua-duanya adalah kecintaan saya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *