Muktamad Bagi Shahrul, Aidil

KUALA LUMPUR: Tonggak pertahanan negara, Shahrul Mohd Saad tidak mahu mempertaruhkan kedudukannya dalam skuad Harimau Malaya setelah lebih dua bulan ‘terpisah’ daripada aksi berintensiti tinggi susulan pandemik COVID-19.Kapten pasukan Perak berusia 27 tahun itu juga enggan terbuai dengan kenyataan pengendali skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe yang tidak berhasrat membuat rombakan besar-besaran dalam pasukan yang mempunyai misi mencabar slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Justeru, Shahrul bersedia untuk mempertahankan kedudukannya di benteng pertahanan pasukan dan berazam menampilkan kualiti terbaik dalam baki tujuh perlawanan Liga Super sebaik saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 kembali bersambung, dijangka September depan.Setiap jurulatih pasti inginkan yang terbaik untuk pasukan apatah lagi dalam situasi sukar ketika ini. Jadi beliau (Cheng Hoe) berhak untuk memilih sesiapa sahaja. Sehingga November lepas, saya masih terpilih tetapi sekarang tidak boleh terlalu selesa kerana sudah lama tidak bermain dalam aksi kompetitif.

Sebab itu saya perlu pastikan tujuh perlawanan liga nanti bakal menjadi penentu terbaik untuk saya kekal terpilih dalam skuad negara,” katanya dalam kenyataan oleh Liga Bola Sepak Malaysia , hari ini.Saingan Liga-M 2020 dan seluruh aktiviti bola sepak di negara ini ditangguhkan sementara sejak 16 Mac lepas selain pasukan dilarang menjalankan sebarang sesi latihan dan mengadakan aksi persahabatan sebagai mematuhi arahan kerajaan dalam memerangi penularan COVID-19.

Seorang lagi pertahanan negara, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak turut mengintai peluang untuk kekal bersama skuad kebangsaan, sambil menyifatkan baki saingan Liga-M 2020 membantu Harimau Malaya pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2020/Piala Asia 2023.Beliau berkata amat penting bagi seseorang pemain mendapatkan kembali momentum perlawnan terutama selepas lebih dua bulan tidak beraksi.

Saya terbaca baru-baru ini jurulatih Cheng Hoe mengatakan Liga-M memang akan bantu skuad kebangsaan dapatkan momentum terbaik dan pada masa sama menyatakan mengenai kesan yang kami akan terima seandainya liga tidak dapat diteruskan.Usaha meneruskan Liga-M adalah baik apatah lagi kami sendiri sebagai pemain memang ingin terus beraksi tetapi kesihatan dan keselamatan masih perlu diutamakan. Saya juga tidak boleh mementingkan diri sendiri, banyak aspek perlu dilihat untuk pastikan Liga-M terus berlangsung,” katanya.

Meskipun mengakui tempoh persiapan skuad Harimau Malaya adalah singkat jika Liga-M bermula pada September depan, Mohamad Aidil yang juga tonggak kelab Johor Darul Ta’zim percaya dengan percaturan Cheng Hoe selain tanggungjawab dimiliki barisan rakan sepasukan.Berdasarkan perancangan terbaharu Konfederasi Bola Sepak Asia yang masih tertakluk kepada kelulusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa , Malaysia akan bertemu Emiriah Arab Bersatu di Dubai pada 8 Okt sebelum melayani kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Okt.

Malaysia kini berada pada kedudukan selesa di tangga kedua Kumpulan G pusingan kedua kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima daripada keseluruhan lapan aksi kumpulan.Hanya UAE yang berada di tangga keempat dengan enam mata memiliki kelebihan satu aksi sementara pendahulu, Vietnam unggul dengan 11 mata diikuti Thailand pada kedudukan ketiga lapan mata dan Indonesia tercorot tanpa sebarang mata. – BERNAMA