MU tiada masalah kekal Zainal Abidin musim depan

PERSATUAN Bola Sepak Melaka United (Musa) tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan Zainal Abidin Hassan sebagai ketua jurulatih Melaka United (MU) pada musim depan.

Presidennya, Adly Zahari berkata, bekas pemain kebangsaan itu sudah melakukan yang terbaik dalam usaha membawa pasukan berkenaan ke tangga keenam pada musim ini berbanding kedudukan ketujuh pada musim lepas walaupun sasaran adalah untuk menjadi skuad lima terbaik dalam Liga Super.

“Walaupun ia tidak menepati sasaran kita tetapi ada satu pencapaian yang terbaik juga telah beliau lakukan untuk pasukan dan melaksanakan tugas dengan baik.

“Lagipun saya lihat beliau mempunyai minat untuk kekal di Melaka jadi Musa boleh pertimbangkan untuk beliau kekal membimbing skuad Melaka United pada musim depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia Cawangan Melaka Kali Ketujuh di sini malam tadi.

Adly yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, pencapaian skuad Sang Kancil itu pada musim ini bukan sahaja dipengaruhi oleh kepimpinan ketua jurulatih tetapi terdapat faktor lain termasuk komitmen pemain dan semangat berpasukan.

Beliau berkata, pengurangan bajet keseluruhan Musa pada musim ini iaitu daripada RM23 juta kepada RM15 juta juga menjadi penyumbang kepada pencapaian tersebut.

Semalam, media melaporkan Zainal Abidin berkata setakat ini tiada sebarang perbincangan mengenai jawatan itu selepas misi MU terhenti pada suku akhir Piala Malaysia dan menyerahkan kepada pihak Musa untuk membuat keputusan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *