Minat JDT punya pasal

SEGAMAT: Bagi membuktikan minat mendalam terhadap pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), seorang penternak kambing sanggup membelanjakan kira-kira RM600 untuk mengecat rumahnya berwarna merah biru, tiga tahun lalu.

Malah bukan itu saja, Ajib Abd Rahman, 31, juga sanggup mencipta papan tanda jalan berlogokan JDT bagi memudahkan pelancong mencari jeti nelayan berhampiran rumahnya di Kampung Tekam, di sini.  

Ajib berkata dia meminati JDT sejak di bangku sekolah dan akan menyokong pasukan itu sama ada menang atau kalah.

“Sepatutnya kos mengecat lebih tinggi, mujurlah rakan-rakan banyak membantu selama tiga hari untuk mengecat rumah saya dan ia sedikit sebanyak membolehkan saya berjimat.

“Selain itu, saya meletak papan tanda jalan berlogokan JDT di sekitar kampung ini bagi memudahkan pelancong menuju jeti nelayan darat untuk mencari ikan segar.

“Kami terakhir saya ke Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunus, Larkin pada 26 Oktober lalu untuk menyaksikan JDT menewaskan Selangor, 2-0 dalam perlawanan separuh akhir pertama, Piala Malaysia,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.   

Ajib Abd Rahman menunjukkan gambar ketika dia hadir menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Johor Darul Ta’Zim (JDT) dan Selangor di Stadium Tan Sri Dato’ Hasan Yunos di Larkin Johor pada 26 Oktober lalu. – Foto Ahmad Ismail

Selain itu, Ajib berkata setiap kali dia ke stadium bersama rakan-rakan, mereka akan membawa pelbagai makanan tradisional seperti ubi rebus sambal tumis dan lempeng pisang.

“Kami akan menabung beberapa minggu sebelum perlawanan JDT dan memberikan sokongan ke seluruh negara sekiranya tidak sibuk dengan tugasan masing-masing.

“Alhamdulillah, untuk perlawanan akhir Piala Malaysia malam esok, saya bersama empat rakan berjaya membeli tiket dan akan ke Stadium Bukit Jalil untuk memberikan sokongan kepada pasukan.  

“Kami yakin berdasarkan persembahan semasa, JDT mampu muncul juara dengan menewaskan Kedah 2-0 dalam perlawanan itu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *