Messi, Silvio Goncalves, import baharu Jadi Taruhan TFC

Penyokong Terengganu Football Club (TFC) seharusnya mempunyai keyakinan tinggi bahawa pasukan mereka mampu memberikan saingan dalam kancah Liga Malaysia 2020, yang akan bermula pada penghujung februari tahun depan.

Hal ini kerana pasukan berpengkalan di pantai timur itu berjaya membawa pulang Faiz Nasir atau dikenali sebagai ‘Messi Ganu’, mendapatkan khidmat jurulatih kecergasan baharu iaitu Silvio Goncalves, menandatangani pemain-pemain import baharu serta bakal mengetengahkan beberapa pemain muda yang sedang meningkat naik.

Menurut laporan The Star, perkara ini disambut baik oleh kapten berpengaruh TFC, Lee Tuck terutamanya kehadiran semula pemain lincah, Faiz Nasir yang mula mengikuti sesi latihan pramusim skuad kendalian Nafuzi Zain sejak awal disember lalu.

“Saya berasa sangat gembira apabila kami mendapatkan kembali (khidmat) ‘Messi’. Kami sememangnya sangat serasi ketika bermain bersama pada masa lalu,”

“Dia merupakan aset penting buat kami kerana dia memiliki sikap yang hebat. (Saya) senang hati dan tidak sabar untuk bermain bersamanya.” kata kapten berusia 31 tahun seperti dipetik daripada The Star.

Selain daripada kehadiran ‘Messi Ganu’, Lee Tuck turut menyentuh kehadiran beberapa staf kejurulatihan yang baharu. Antaranya bekas jurulatih kecergasan pasukan berpengkalan di Brazil, Santos FC iaitu Silvio Goncalves dan melantik seorang Pegawai Analisis Prestasi, Azim Rahim.

Kedua-dua tambahan baharu kepada barisan kejurulatihan TFC ini akan memainkan peranan penting dalam menyiapkan pemain-pemain semasa latihan pramusim agar pemain-pemain dapat memperagakan corak permainan ‘possession football’ seperti yang kita ketahui merupakan corak yang diterapkan ketua jurulatih, Nafuzi Zain sejak pertengahan musim 2019.

“Setakat ini latihan pramusim (berjalan) sangat baik. Semua orang bersemangat tinggi dan teruja (menantikan) musim baharu. Ramai pemain-pemain muda di dalam pasukan, (dan) pemain-pemain baharu. Semua orang menikmati (pramusim) dan bekerja keras.

“Kami juga mempunyai beberapa staf kejurulatihan yang baharu. Mereka membawakan corak latihan yang berbeza di mana membawa kami ke tahap yang lebih tinggi.” ujar Lee Tuck yang sememangnya amat mementingkan latihan kercergasan sebagai pemain bolasepak profesional.

Sementara itu, pemain kelahiran Halifax, England ini turut senang hati dengan kelibat dua orang pemain import baharu TFC iaitu, penye rang, Dominique da Sylva serta pertahanan tengah, Babacar Diallo.

“Pemain-pemain import baharu juga hebat di mana mereka sanggup belajar (perkara baharu) dan berinteraksi (dengan pemain-pemain lain), yang merupakan perkara yang (amat) diinginkan dalam latihan pramusim.” tambahnya.

Setakat ini, hanya dua orang sahaja pemain yang belum kembali berlatih iaitu pemain tengah, Sanjar Shaakhmedov dan pemain sayap kebangsaan Singapura, Faris Ramli.