Menjadi Halangan Terbesar

Pemain sayap skuad kebangsaan, Safawi Rasid menegaskan fizikal yang dimiliki oleh pemain Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan menjadi halangan terbesar apabila kedua-dua pasukan bertemu pada Mac ini.

Menurut Safawi, ketinggian yang dimiliki oleh kebanyakan pemain UAE menyebabkan mereka mudah untuk mengatasi pemain negara. Namun, Safawi berazam untuk meningkatkan kualiti permainan bagi mencabar Ali Mabkhout dan rakan-rakan.

“Saya lihat antara halangan utama adalah fizikal pemain Timur Tengah yang agak besar seterusnya sukar untuk mengatasi mereka terutama jika bertubuh kecil.

“Perkara terbabit menjadi pengajaran pada saya untuk pertingkatkan lagi teknik permainan bagi mengatasi mereka pada perlawanan menentang UAE nanti,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Pada perlawanan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil September lalu, Ali Mabkhout menjadi wira UAE apabila menjaringkan dua gol sekaligus memberikan kemenangan kepada pasukan beliau.

Kemenangan ke atas UAE pada Mac ini akan mencerahkan peluang pasukan negara untuk mara ke pusingan ketiga.

Selepas berdepan UAE, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe akan menerima kunjungan pasukan Vietnam.