Melaka United minta ‘sedekah’ini Cara Kampung-Ramli

MELAKA: Pendekatan Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) mengutip derma untuk menyelesaikan tunggakan gaji musim 2019 tampak memalukan sekali gus dikhuatiri memberi imej buruk kepada pasukan terbabit.

Sekalipun ada pihak yang menyambut baik idea kutipan dana awam itu untuk memperbaiki ‘kerosakan’ terdahulu, cara sedemikian mendapat tindak balas negatif khususnya daripada bekas pemain dan juga penyokong skuad Kancil.

Legenda bola sepak negara yang juga bekas pemain Melaka, Ramli Junit tidak bersetuju dengan ‘cara kampung’ ketika saingan bola sepak sudahpun memasuki era profesional.

Katanya, persatuan harus berusaha untuk menyelesaikan bebanan hutang yang ditanggung tanpa mengharapkan ihsan penyokong semata-mata.

“Banyak lagi cara untuk memperolehi dana bagi tujuan terbabit dan derma awam seharusnya tidak dibebankan kepada penyokong.

“Tugas semua Exco adalah membantu menyelesaikan isu terbabit dan bukannya mengharapkan presiden semata-mata bagi mencari jalan penyelesaian. Sebagai majikan, mereka perlu bertanggungjawab merangka strategi yang menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Demi Melaka United (DMU), Mohamad Odiyas Onan menegaskan pendekatan kutipan derma itu adalah hak MUSA namun mereka sepatutnya memberi tumpuan penyelesaian tanpa kutipan derma daripada penyokong.

“Penyokong banyak membantu menerusi pembelian tiket dan mengeluarkan perbelanjaan ke stadium. Sudah pasti mereka enggan terbeban dengan isu tunggakan gaji yang perlu diselesaikan.

“Bagaimanapun, kami yakin persatuan ada pelan tersendiri untuk menyelesaikan hutang lama. Namun semuanya terpulang kepada penyokong untuk menderma dan ia perlu dilancarkan dengan s!stematik dan tersusun.

“Sebenarnya, kami tiada halangan dalam perkara ini namun adalah lebih baik jika ia diuruskan tanpa dana awam,” katanya.

sumber:BH