Mat Yo Kembali Ke Kelantan?

Spekulasi sedang bertiup kencang Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo) akan kembali menyarung jersi Kelantan, begitupun belum ada pengesahan dari mana-mana pihak.

Mat Yo dengan Kelantan ada banyak cerita, sisi positif pun ada, sisi negatif mungkin lagi banyak. 

Kelantan adalah pasukan yang bertanggungjawab naikkan nama Mat Yo, di sinilah dia mencipta nama muncul Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia selama tiga musim berturut-turut.

Selepas itu, dia berpindah ke JDT dalam apa yang disifatkan perpindahan pintu belakang paling sensasi di waktu itu.

Dari seorang yang disayangi peminat, dia mula menjadi seorang yang berbeza, perbalahan demi perbalahan dengan penyokong, media, malah termasuk jugalah perbalahan dengan Tan Sri Annuar Musa (individu yang menganggapnya sebagai anak dan banyak membantu kariernya berkembang) menyaksikan kariernya jatuh merudum.

Jika benar dia kembali selepas lapan musim berkelana, adakah penyokong Kelantan akan melupakan segala kisah lama dan menerima kepulangannya dengan gembira?