Mane dedah cerita sebenar tentang Salah

LIVERPOOL 1 Okt. – Penyerang Liverpool, Sadio Mane akhirnya mendedahkan tentang hubungannya dengan Mohamed Salah, selepas pemain antarabangsa Senegal itu dilihat tidak berpuas hati terhadap rakan sepasukannya di Burnley.

Mane dilihat berang apabila Salah gagal menyempurnakan hantaran kepadanya sewaktu Reds melakar kemenangan 3-1 di Turf Moor, bulan lalu.

Bintang sayap Reds itu, kelihatan melepaskan kemarahannya sewaktu dia di bawa keluar pada babak kedua permainan, sehingga membuat penyokong percaya kedua-dua pemain berkenaan bergaduh.

Bagaimanapun, pada sidang akhbar menjelang aksi Liga Juara-Juara antara Liverpool menentang Salzburg, pemain berusia 27 tahun itu menepis segala spekulasi dan dakwaan bahawa mereka berdua berselisih pendapat dan mengakui, insiden tersebut sudahpun dilupakannya.

Mane, yang kini sudahpun mengumpul empat gol dalam aksi Liga Perdana Inggeris, penggal ini berkata: “Soalan yang baik. Saya rasa apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak. Saya cuma berasa sedikit kecewa kerana dalam bola sepak anda pasti mahu menjaringkan gol yang lebih banyak.

“Anda boleh melihat Manchester City meledak lapan, enam, tujuh gol. Anda boleh lihat itu ke tidak? Jadi, bagi saya dan juga pemain yang lain, amat penting untuk kami menjaringkan gol sebanyak yang boleh.

“Tetapi apa sahaja boleh berlaku kerana dia tidak melihat saya dan saya agak kecewa. Tetapi selepas itu, kami semakin rapat.”

Mane turut mendedahkan dia, Salah dan Gini Wijnaldum kini menjadikan insiden itu sebagai satu gurauan.

“Semalam, saya berkata ‘Gini, bagi tahu Mo mengapa Sadio mahu mengalahkan dia dalam perlawanan di Burnley’. Gini seorang yang sangat lucu, saya selalu cakap sedemikian kepadanya. Anda semua tahu insiden itu telahpun dilupakan,” jelas Mane. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *