Mana YAKEB ? Ketika Khalid Memerlukan Bantuan

Bekas penyrang kebangsaan Khalid Jamlus mungkin tidak perlu sampai ke tahap terpaksa menjual kasut emas yang dimenanginya pada 2002, jika dari awal berdaftar dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

LabolaMalaya berpendapat sedemikian kerana YAKEB yang ditubuhkan pada 2007 diketahui sebagai sebuah badan yang menawarkan pelbagai faedah kepada ahli mereka dari kalangan bekas atlet terutama dari aspek perubatan dan bantuan lain termasuklah menyediakan mereka pelbagai peluang untuk diterokai selepas bersara malah untuk menjadi ahli YAKEB, ianya adalah percuma.

Ramai bekas atlet sejak dari zaman 50-an hingga terbaru dari pelbagai jenis sukan menjadi ahli yayasan itu, dengan jumlah terkumpul ketika ini menghampiri 3,000 ahli – dan mereka telah menikmati pelbagai manfaat.

Semakan kami mendapati pemain itu belum menjadi ahli dengan yayasan itu, dan kami telah mendapatkan pandangan Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

“Beliau belum menjadi ahli dan kita sangat mengalukan beliau untuk berdaftar dengan kita agar kita boleh cuba memahami masalah dan mengambil langkah seterusnya untuk cuba membantu apa yang patut boleh diusahakan.

YAKEB ada menjalin kerjasama dengan pelbagai organisasi mungkin boleh buka peluang baru kepada beliau.Seperti yang semua sedia maklum, YAKEB bukan sahaja sebuah badan yang menjaga kebajikan, membantu ketika sakit, membantu mendapatkan rawatan percuma di hospital kerajaan, tetapi kita juga menyediakan mereka dengan pelbagai peluang lain selepas bersara.

Kita hantar mereka pergi kursus, dapatkan bantuan kewangan, ada yang jadi jurulatih, ada yang buka perniagaan, jadi usahawan, kita tolong tunjukkan jalan.

Sebab itu saya selalu ulangi, selalu menggesa bekas atlet untuk berdaftar dengan kita supaya memudahkan kita keep track status dan perkembangan mereka. Jika ada masalah kita akan cuba tolong sebaik mungkin.

Dalam kes Khalid, beliau seorang pemain yang cukup disegani jadi mendengar beliau terpaksa menjual barangan yang penuh nilai sentimental agak menyedihkan kita juga, kata Datuk Noorul Ariffin.

Hashim Mustapha antara yang pernah menerima banyak manfaat sebagai ahli YAKEB
Mungkin Khalid Jamlus ada sebab tersendiri kenapa tidak mendaftar sebagai ahli sebelum ini, namun adalah digalakkan beliau berbuat demikian dengan segera agar tidak terlepas manfaat sebagai bekas atlet.

sumber:labolmalaya

LabolaMalaya pada Sabtu melaporkan Khalid Jamlus yang pernah membantu pasukan negara menduduki tangga ketiga Piala Tiger (kini Piala AFF) 2004 terpaksa menjual koleksi barangan peribadi seperti jersi, medal, jaket, trofi serta kasut emas penjaring terbanyak secara lelong di facebooknya demi kelangsungan hidup kerana sudah tiga tahun tidak mempunyai kerja.