Malaysia ‘simpan’ taktikal

HANOI 8 Okt. -Tindakan Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) menyediakan padang latihan Harimau Malaya di depan kediaman jurulatih Vietnam, Park Hang-seo membuatkan pasukan kebangsaan tidak selesa melakukan persiapan menghadapi skuad Naga Emas dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, Khamis ini.

Skuad kebangsaan menjalani latihan di Pusat Latihan Remaja VFF, dan jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui, beliau tidak dapat menerapkan latihan lebih ke arah taktikal kerana bimbang dihidu oleh tuan rumah.

“Latihan berjalan lancar dan suasana dalam kem pun juga baik. Semua pemain fokus selepas aksi persahabatan menentang Sri Lanka. Apa yang penting, pemain bebas daripada kece­deraan.

“Memang betul kami berlatih di depan rumah jurulatih Vietnam, namun saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana semuanya sudah diatur oleh VFF, jadi kami ikut sahaja.

“Saya lebih banyak melakukan latihan fizikal pemain dan bukan taktikal pasukan, namun itu tidak bermakna mereka tidak dapat menghidu permainan kita kerana mereka pasti melihat dua perlawanan kita di peringkat kumpulan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kelewatan dua pemain Vietnam iaitu Cong Phuong dan Doan Van Hau tiba di kem latihan pa­sukan kerana masalah pe­nerbangan, Cheng Hoe tidak melihat perkara itu memberi kelebihan buat pasukan kebangsaan.

“Saya diberitahu mereka lewat menyertai kem latihan ­Vietnam namun dakwaan mereka bergelut dengan prestasi kerana kurang minit permainan tidak benar.

“Bagi saya kelewatan mereka tak beri apa-apa kesan kepada kita. Mereka bukannya tidak pernah beraksi bersama ­Vietnam, walaupun jarang bersama saya tidak fikir mereka ada masalah persefahaman,” kata­nya lagi.

Penyerang Vietnam, Cong Phuong yang bermain buat kelab Belgium, Sint-Truiden tiba di Hanoi semalam manakala pertahanan, Van Hau yang bermain bersama Heerenveen terpaksa transit sehari di Rusia ekoran cuaca buruk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *