Malaysia lancar projek demonstrasi 5G bulan depan

MANCHESTER – Malaysia bakal menjadi antara yang pertama di  Asia untuk memanfaatkan teknologi rangkaian generasi kelima (5G) dengan pelancaran projek demonstrasi 5G di seluruh negara pada bulan depan.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Persatuan GSM (GSMA) Mats Granryd berkata, Malaysia perlu mengambil langkah secara beransur-ansur dan berhati-hati dalam melaksanakan 5G bagi mendapatkan lebih banyak ruang dan masa untuk bereksperimen dan belajar daripada negara yang sudah dalam fasa maju dalam pelaksanaan 5G.

“Bukan mudah untuk menjadi yang pertama (melaksanakan 5G). Mungkin Malaysia boleh menjadi nombor dua atau tiga kerana ia akan memberikan lebih banyak ruang untuk belajar daripada kesilapan dilakukan pihak lain.

“Tetapi Malaysia juga tidak boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam memanfaatkan 5G, walaupun teknologi itu masih belum boleh didapati secara meluas, kerana proses untuk guna pakainya boleh berlarutan selama beberapa tahun,” katanya kepada Bernama.

GSMA ialah badan perdagangan yang mewakili kepentingan pengendali rangkaian mudah alih di seluruh dunia.

Baru-baru ini, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Al-Ishsal Ishak berkata projek demonstrasi 5G akan dilaksanakan di 32 tapak 5G di enam negeri – Kedah, Perak, Pulau Pinang, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Granryd berkata, teknologi 5G akan menyediakan sokongan kukuh untuk aktiviti harian, membolehkan transaksi perniagaan berjalan lancar dan lebih ekonomik, berikutan penyelenggaraan bagi teknologi 3G akan menjadi mahal dengan kemajuan pesat teknologi global. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *