Makna Isyarat 5 jari

REAKSI pemain skuad bola sepak Kedah yang menunjukkan lima jari dalam laman Facebook seperti yang tersebar dalam media sosial mencetuskan tanda tanya berkaitan isu gaji tertunggak yang masih dialami skuad Lang Merah.

Menerusi gambar yang dimuat naik dalam album vjian Calitan atau ‘Swab Test’ oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) semalam, memaparkan sekumpulan pemain Kedah yang sudah melakukan Ujian Calitan atau “Swab Test”.

Perkongsian gambar berkenaan juga mencetus berbagai persoalan di kalangan penyokong Kedah yang membuat tafsiran masing-masing berkaitan skuad Lang Merah yang masih dibelenggu isu tunggakan gaji sejak Februari lalu.

Menerusi komen dalam media sosial, seorang peminat yang dikenali sebagai mr. Jbat turut merasa pelik apabila semua pemain menunjukkan isyarat lima jari semasa gambar dirakam dan tersebar dalam whatsapp kelab penyokong Kedah.

“Tu pakat buat 5.. 5 bulan x bayaq gaji pa.” katanya.

Luahan berkenaan adalah dalam loghat Kedah yang bermaksud isyarat lima yang ditunjukkan adakah bermaksud tak bayar gaji lima bulan.

Seorang lagi penyokong Kedah dengan nama AJ turut hairan menyatakan : “Apakah maksud lima jari yang pemain-pemain Kedah maksudkan? Ada maksud mendalam ni..” katanya.Isu tunggakan gaji ini turut mencetuskan kebimbangan dikalangan peminat di mana Kedah berisiko untuk kehilangan pemainnya lantaran terdapat berita seorang pemain memberi bayangan akan mengundur diri termasuk menamatkan kontraknya bersama Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) pada minggu lalu.

Tunggakan gaji dilaporkan bermula sejak Februari lalu, bagaimanapun tunggakan gaji bulan Februari difahamkan sudah dibayar (sebahagian) sementara tunggakan bulan Mac dan seterusnya kini menjadi persoalan mengenai kelulusan dan tarikh pembayaran.